Utusan Borneo (Sarawak)

Bekas pengurus pemasaran hadapi 10 tuduhan buat tuntutan palsu

-

SHAH ALAM: Seorang bekas pengurus pemasaran dan saluran SME Telekom Malaysia (TM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap 10 pertuduhan membuat tuntutan palsu lebih RM822,390.

Noorazlina Shamsuddin, 41, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapny­a di hadapan Hakim Datuk Noradidah Ahmad.

Wanita itu didakwa membuat tuntutan palsu melalui pesanan penghantar­an dan invois milik dua syarikat kontraktor iaitu Core Entity Sdn Bhd dan Excellent Spring Sdn Bhd bagi kerja pemasangan kabel UniFi di beberapa lokasi yang belum dilaksanak­an.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan di Pejabat TM MSC, TM Cyberjaya Complex, Cyberjaya dekat sini, antara 17 April 2012 hingga 2 Jan 2013.

Noorazlina didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta sama, yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Mohammad Heikal Ismail mencadangk­an tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM50,000 bagi kesemua kesalahan selain pasportnya diserah kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanap­un memohon mahkamah mengurangk­an jumlah jaminan atas alasan dia tidak mempunyai sumber pendapatan kerana tidak bekerja. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia