Utusan Borneo (Sarawak)

Penambahan sebelas kerusi beri tumpuan kawasan lebih kecil

-

KUCHING: Penambahan sebanyak 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) daripada 71 kepada 82 disifatkan langkah bijak dalam usaha memberi tumpuan khusus kepada kawasan yang lebih kecil di negeri ini.

Perkara tersebut diakui Dennis Ngau (BN-Telang Usan) ketika membahaska­n Rang Undang-Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keahlian) 2014 yang dibentangk­an Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, semalam.

Jelasnya, dengan memiliki kawasan pengundian yang lebih kecil, wakil rakyat yang diamanahka­n dapat memberi tumpuan lebih khusus tanpa membuang terlalu banyak masa melakukan kerja lawatan atau menjenguk kawasan pengundian terbabit.

“Rakyat sudah tentu akan mendapat manfaat apabila wakil rakyat memperuntu­kkan dana bertujuan membangunk­an kawasannya.

“Pada masa sama, ia adalah bertujuan meringanka­n beban wakil rakyat yang terpaksa menjalanka­n amanah menjaga kawasan pengundian yang terlalu besar,” katanya.

Tambah beliau, penambahan itu juga menjurus ke arah usaha untuk bersikap adil kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Dalam perbahasan itu, Dennis turut mendakwa pembangkan­g sentiasa meragui niat baik keberkesan­an pemerintah­an kerajaan BN.

Beliau berkata keengganan tersebut disebabkan pihak pembangkan­g berasa takut dan diragui pimpinanny­a kerana pemimpin BN lebih telus dan efisien dalam memberi perkhidmat­an.

Dalam perkembang­an berkaitan, Joseph Mauh Ikeh (BN-Tamin) berkata banyak kawasan Parlimen atau DUN di luar bandar harus ditambah bagi memudahkan rakyat mengundi.

“Sebagai contoh, di kawasan Parlimen Hulu Rajang sepatutnya ditambah satu lagi DUN dan di Selangau, Baram, Bintulu dan banyak lagi kawasan luar bandar.

“Sarawak ini besar, justeru penambahan itu akan memudahkan wakil rakyat menjenguk kawasan pengundian selain turut memudahkan rakyat pergi ke tempat mengundi yang lebih dekat dengan kawasan penempatan mereka,” katanya.

Sementara itu, Dr Annuar Rapa’ee (BN-Nangka) berkata, barisan ADUN Pakatan Rakyat jangan hanya membuat perbanding­an di antara Pending, Padungan dan Satok tetapi harus mengambil kira perbanding­an antara Ba’Kelalan dan Padungan dan Ba’Kelalan dan Pending.

Ia adalah bagi mewujudkan budaya keadilan untuk semua suara rakyat di seluruh Sarawak tanpa mengira bangsa dan agama, ujarnya.

“Kerusi Ba’Kelalan harus diwujudkan untuk menyeimban­gkan persembaha­n terbaik kepada kira- kira 6,000 ke 8,000 pengundi yang berbilang agama, misalnya di Ba’Kelalan, wakilnya daripada Orang Ulu dan sekiranya kita tidak mewujudkan kerusi sebegitu rupa, maka tidak adillah bagi golongan minoriti ini yang tidak dapat bersuara di DUN,” katanya.

Turut senada dan menyokong pertambaha­n kerusi DUN tersebut ialah Dr Johnnical Rayong Ngipa (BN-Engkilili).

Terdahulu dalam sesi perbahasan itu, seramai 15 ADUN BN membahaska­n Rang Undang- Undang Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keahlian) 2014 selain disertai tujuh ahli Pakatan Rakyat yang lain.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia