Utusan Borneo (Sarawak)

Peniaga manipulasi GST raih untung boleh didenda, dipenjara: Hasan

-

IPOH: Para peniaga sama ada individu atau syarikat boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000 dan dipenjara selama tiga tahun jika didapati bersalah memanipula­si Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) pada bahan iklan dan promosi jualan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.

Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) Datuk Seri Hasan Malek berkata pihaknya telah mula mengambil tindakan di beberapa tempat seperti di Nilai, Negeri Sembilan.

“Kementeria­n boleh bertindak turunkan bahan iklan dan promosi ini serta-merta jika ia mengandung­i perkara yang mengeliruk­an pengguna, walaupun ia telah mendapat kelulusan pihak berkuasa tempatan, KPDNKK ada hak bertindak sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasaraya Groom Big Coop Koperasi Usahawan Wilayah Utara Perak Berhad di Meru di sini, semalam.

Beliau berkata rakyat tidak boleh ditipu dengan mudah kerana kerajaan sentiasa prihatin dengan bertindak terhadap aktiviti penyelewen­gan, manipulasi GST dan penyampaia­n maklumat yang tidak benar kerana mahu meraih keuntungan secara salah.

Pengguna diminta menghubung­i talian bebas tol 1-80088-6800 untuk sebarang aduan, dan pihaknya akan menyiasat serta bertindak tegas, katanya.

“Saya nak mengingkat­kan semula kepada peniaga supaya jangan tamak, hanya memikirkan keuntungan semata-mata, kita perlu wujudkan suasana menang-menang, peniaga ada untung, pengguna dapat membeli dengan harga berpatutan dan suasana harmoni,” katanya.

Mengenai tragedi banjir dan tanah runtuh di Cameron Highlands serta operasi menahan pendatang asing tanpa izin di kawasan tanah tinggi itu, yang boleh menjejas bekalan sayur-sayuran, Hasan berkata pihaknya telah berunding dengan Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai perkara itu.

“Kita bersedia mengimport bekalan sayur-sayuran jika keadaan itu menjejaska­n keperluan pengguna, namun bidang pengeluara­n ini adalah di bawah kementeria­n pertanian. Kita menjaga pengguna, jika tiada pilihan kita akan import,” katanya.

Mengenai perkembang­an koperasi, beliau mahu sektor itu yang kini mempunyai lapan juta anggota dengan 11,450 buah koperasi mengambil peluang perniagaan atas hubungan baik Malaysia dengan negara luar seperti China dan Emiriyah Arab Bersatu.

“Malaysia ada hubungan rapat dengan China, kita perlu mengambil kesempatan ini, koperasi perlu fikirkan bagaimana mereka boleh menyumbang ke arah pertumbuha­n negara, hubungan dengan China begitu luas, jangan fikirkan pasaran tempatan sahaja,” katanya.

Koperasi Groom Big adalah inisiatif Kementeria­n Kewangan, Suruhanjay­a Koperasi Malaysia dan SIRIM Berhad yang bermula pada 2005 bertujuan melahirkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana Bumiputera berdaya saing di peringkat domestik dan global.

Ketiga-tiga pihak itu membantu koperasi itu membangunk­an dan meningkatk­an kualiti produk yang dikenal pasti untuk dibangunka­n dari aspek jenama, reka bentuk, label, pembungkus­an, bahan promosi dan sebagainya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia