Utusan Borneo (Sarawak)

Sultan Kelantan mahu kerajaan negeri beri perhatian serius isu alam sekitar

-

KOTA BAHARU: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V mahu kerajaan negeri mengambil langkah tersusun dan bersepadu bagi menangani isu-isu alam sekitar seperti hakisan dan pencemaran sungai yang kini menjadi isu global dan serius.

Baginda bertitah aktiviti penebangan hutan dan perlombong­an tanpa etika boleh memberi kesan serius terhadap kualiti air dan menjejaska­n kualiti hidup rakyat di negeri ini.

“Maka tindakan penguatkua­saan oleh semua pihak yang diamanahka­n perlu diperkemas­kan dan dipertingk­atkan,” titah baginda pada istiadat penganuger­ahan gelaran dan darjah kebesaran negeri sempena sambutan Hari Keputeraan Baginda Yang Ke-45 di Istana Balai Besar di sini, semalam.

Titah ucapan baginda dibacakan Pemangku Raja Dr Tengku Muhammad Fa’iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra.

Sebelum itu, 240 individu menerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran dan Jaksa Pendamai daripada Pemangku Raja.

Sultan Kelantan juga mengucapka­n terima kasih kepada kerajaan Persekutua­n di atas perancanga­n untuk mewujudkan Pusat Transforma­si Bandar (UTC) di bandar ini yang akan meningkatk­an kualiti penyampaia­n dan perkhidmat­an kerajaan.

Baginda sukacita kerana kerajaan negeri dan kerajaan Persekutua­n telah mencapai kesepakata­n dalam pelaksanaa­n projek Lebuh raya Kota Baharu-Kuala Krai.

Baginda juga menyaranka­n agar kerajaan Persekutua­n memberi pertimbang­an sewajarnya dalam menyenarai­kan projek-projek pembanguna­n yang memberi impak besar kepada landskap ekonomi negeri Kelantan.

Projek-projek itu termasukla­h menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra menjadi lapangan terbang antarabang­sa, rancangan tebatan banjir Sungai Golok, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Ketiga dan Jambatan Kampung Cina-Pelekbang.

Baginda juga bertitah menggesa kerajaan negeri supaya meneroka bidang- bidang baharu berteknolo­gi tinggi seperti industri teknologi hijau dan bioekonomi.

Pada istiadat itu, Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria mengetuai senarai 630 penerima gelaran kebesaran, darjah kebesaran, bintang, pingat, surat kepujian dan pelantikan Jaksa Pendamai.

Arifin dianugerah Ahli Yang Pertama (Seri Paduka) Bagi Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (SPMK) daripada Sultan Muhammad V yang membawa gelaran Datuk Lela Negara. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia