Utusan Borneo (Sarawak)

3,337 unit rumah mampu milik siap dibina: Hajiji

-

KOTA KINABALU: Sebanyak 3,337 unit Rumah Mampu Milik (RMM) telah siap dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) setakat bulan September 2014.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, sebanyak 2,677 unit lagi rumah itu sedang dalam pembinaan.

“Bagi perbadanan PR1MA pula setakat ini hanya terdapat dua projek perumahan PR1MA Sabah yang melibatkan 7,750 unit rumah iaitu di Jalan Sim-Sim Sandakan (1,750) dan Inanam Kota Kinabalu (6,000).

“Perbadanan ini menawarkan rumah jenis kediaman dengan harga RM100,000 hingga RM400,000 seunit khusus ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berpendapa­tan isi rumah purata antara RM2,500 hingga RM10,000 sebulan,” katanya.

Hajiji berkata demikian ketika menjawab soalan Limus Jury (BN-Kuala Penyu) mengenai satus kemajuan program perumahan mampu milik di Sabah yang dilaksanak­an oleh agensi kerajaan pusat seperti Jabatan Perumahan Negara, SPNB dan PR1MA.

Dalam pada itu katanya, sehingga kini jumlah program perumahan rakyat (PPR disewa) oleh Jabatan Perumahan Negara telah dan sedang dibina di Sabah ialah sebanyak 19,491 unit iaitu 13,756 telah siap dibina dan sebanyak 5,735 lagi sedang dalam pembinaan.

Senarai projek PPR Disewa dalam perancanga­n untuk pembinaan dalam RMK 10 ini adalah sebanyak 5,000 unit dan yang baharu diluluskan dalam bajet 2015 ialah sebanyak 2,000 unit.

Jelas Hajiji, statistik mengikut daerah bagi PPR Disewa yang telah siap dibina ialah Kota Kinabalu termasuk Tuaran sebanyak 5,059 unit diikuti dengan daerah Sandakan sebanyak 3,900 unit, Tawau 2,872 unit, Papar 1,225 unit dan Lahad Datu 700 unit.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia