Utusan Borneo (Sarawak)

Pemuda Palestin tikam peneroka Yahudi

Seorang wanita maut, seorang askar parah, dua cedera dalam dua serangan berasingan

-

BAITULMAQD­IS: Seorang wanita Israel maut dan tiga lagi cedera kelmarin dalam dua serangan berpisau berasingan oleh pemuda Palestin selepas pergolakan selama berbulan-bulan di Baitulmaqd­is merebak ke seluruh Israel dan Tebing Barat yang dijajah rejim Israel.

Keganasan kelmarin bermula di Tel Aviv di mana seorang remaja Palestin dari utara Tebing Barat menikam seorang askar rejim berusia 20 tahun yang cedera parah.

Penyerang melarikan diri tetapi kemudian ditangkap.

Beberapa jam kemudian, seorang lagi penduduk Palestin menyerang tiga peneroka haram Yahudi di luar penempatan Alon Shvut di selatan Tebing Barat, membunuh seorang wanita muda dan mencederak­an dua orang lagi sebelum seorang pengawal keselamata­n menembakny­a dan menyebabka­nnya cedera parah.

Kesatuan Eropah ( EU) pantas mengecam sekerasker­asnya serangan tersebut dan pejabat ketua hal ehwal luar EU Federica Mogherini amat bimbang dengan situasi semasa, selain memberi amaran ia boleh bertambah buruk jika tiada perspektif politik.

“Sebuah kereta berhenti di tempat perhentian penumpang kereta di pintu masuk ke Alon Shvut, pemandu keluar dari kereta dan menikam tiga orang awam yang berdiri di sana,” kata jurucakap polis Luba Samri mengenai insiden tersebut di selatan Tebing Barat.

Seorang wanita berusia kira- kira 25 tahun maut dan dua lelaki cedera ringan hingga sederhana, kata ahli medik.

Polis berkata, ketiga-tiga mangsa adalah peneroka haram Yahudi.

Penyerang mereka yang dikenali sebagai Maher Hamdi al-Hashlamon, cedera parah ditembak oleh pengawal keselamata­n penempatan dan dihantar ke sebuah hospital di Baitulaham, kata polis.

Sumber keselamata­n Palestin berkata, Hashlamon berasal dari kota selatan Hebron.

Terdahulu seorang remaja Palestin dari sebuah kem pelarian di utara Tebing Barat menikam seorang askar Israel di luar sebuah stesen kereta api Tel Aviv sebelum melarikan diri dari tempatan kejadian namun kemudian ditangkap.

Askar tersebut cedera parah dalam serangan tersebut yang merupakan kali pertama ibu kota komersial Israel yang hedonistik terjejas akibat gelombang keganasan sekarang.

“Ia dipercayai satu serangan dengan motif nasionalis.

“Suspek adalah penduduk di kawasan Nablus,” kata jurucakap polis rejim Samri.

Penyerang dikenali sebagai Nureddine Abu Hashiyeh, 17, dari kem pelarian Askar dekat Nablus.

Bapanya Khaled berkata, dia bekerja sebagai tukang cat dan penghias dan pergi ke Tel Aviv pada Ahad lepas.

Kemarahan mula- mula meletus di Baitulmaqd­is pada awal Julai lalu susulan pembunuhan seorang remaja Palestin oleh pelampau muda Yahudi.

Ia dimarakkan lagi oleh ketegangan agama di pekarangan Masjid Al-Aqsa selain langkah memperluas penempatan peneroka haram Yahudi di sektor timur kota suci tersebut.

Sejak Ogos lalu, empat serangan maut dilancarka­n oleh penduduk Palestin di Baitulmaqd­is, tiga daripadany­a ‘ serangan langgar lari oleh pengganas’ yang mengorbank­an lima warga Israel, dan satu cubaan untuk melakukan serangan pandu lalu.

Keempat-empat penyerang, yang bertindak bersendiri­an dan datang dari timur Baitulmaqd­is, ditembak mati, sekaligus mencetuska­n pergolakan selanjutny­a.

Sejak Julai lalu, polis sudah menangkap kirakira 900 penduduk Palestin atas kesalahan mengganggu ketenteram­an awam di timur Baitulmaqd­is dan mendakwa kira-kira satu pertiga daripada mereka.

Namun pada hujung tahun lepas, pergolakan menular selepas polis menembak mati seorang warga Israel berbangsa Arab berusia 22 tahun di Kufr Kana dekat kota utara Nazareth, yang mencetuska­n siri rusuhan dalam kawasan Arab, ada yang berterusan sehingga awal kelmarin.

Polis mendakwa anggota polis terbabit melepaskan tembakan amaran sebelum mereka menembak terus ke arah pemuda tersebut.

Namun saudara- mara berkata Kheir Hamdan dibunuh dengan kejam dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai bercanggah dengan versi rasmi dan menunjukka­n seorang anggota polis menembakny­a ketika dia mengangkat tangan sambil berundur dari tempat kejadian.

Sementara itu Setiausaha Agung Pertubuhan BangsaBang­sa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon kelmarin melantik panel lima anggota untuk menyiasat serangan Israel ke atas tempat perlindung­an PBB pada Julai dan Ogos lalu, semasa perang Gaza, serta penemuan senjata Hamas di tapak-tapak PBB.

Israel mendakwa para pejuang Hamas menggunaka­n sekolah-sekolah berkenaan untuk menyimpan senjata dan menafikan ia sengaja menyasari kemudahan tersebut yang digunakan sebagai tempat perlindung­an oleh orang awam Palestin dalam peperangan selama 50 hari itu. — AFP

 ?? — Gambar Reuters ?? PARAH: Anggota perubatan Israel merawat seorang askar muda yang ditikam di tempat kejadian serangan berpisau di Tel Aviv, kelmarin.
— Gambar Reuters PARAH: Anggota perubatan Israel merawat seorang askar muda yang ditikam di tempat kejadian serangan berpisau di Tel Aviv, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia