Utusan Borneo (Sarawak)

Kelulusan segera pinjaman khas RM10,000 untuk peniaga

-

TEMERLOH: Peniaga hasil tani yang terlibat dengan banjir baru-baru ini boleh memohon pinjaman khas berjumlah RM10,000 untuk memulakan semula peniagaan mereka

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pinjaman itu diberikan menerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga ( TEKUN Nasional) dan semua permohonan akan diproses secara ‘laluan khas’ untuk mempercepa­tkan kelulusan.

“Kita faham bahawa walaupun sebahagian pasar tani dibuka semula, tetapi masih ada peniaga menghadapi kesukaran untuk memulakan perniagaan kerana peralatan dan barang niaga musnah dalam banjir,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarka­n Pasar Tani Khas Pasca Banjir di Pasar Tani Lurah Semantan di sini, semalam.

Beliau berkata, selain itu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutua­n (FAMA) juga memberi bantuan sebanyak RM1,000 dalam bentuk pakaian, khemah dan meja perniagaan kepada peniaga pasar tani untuk meringanka­n beban mereka.

Ismail Sabri berkata sehingga kini, sebanyak 38 pasar tani tidak beroperasi akibat banjir, namun jumlah kerugianny­a masih tidak diketahui kerana terdapat kawasan yang masih belum pulih.

Mengenai pasar khas pasca banjir itu, Ismail Sabri berkata ia merupakan inisiatif kementeria­n untuk membantu rakyat di kawasan terlibat banjir mendapatka­n barangan makanan pada harga 18 hingga 60 peratus lebih murah berbanding pasaran biasa.

“Ini kerana barangan itu dijual secara terus oleh agensi di bawah kementeria­n sebagai contoh, jualan sayur dikendalik­an FAMA, ikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)), ayam dan telur oleh Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS),” katanya.

Menurutnya belian atas barangan juga dihadkan iaitu tiga kilogram untuk ikan dan sayur, selain satu sarang telur untuk seorang pembeli bagi mengelakka­n barangan itu dibeli oleh pemborong.

Katanya, pasar tani khas pasca banjir itu akan dibuka di 51 kawasan di 20 daerah di negeri terjejas banjir seperti Kelantan, Terengganu, serta Pahang, dan akan beroperasi sehingga harga barang di kawasan terjejas banjir kembali stabil.

Beliau berkata untuk permulaan, pasar tani khas ini akan beroperasi sehari dalam seminggu, namun akan dibuka lebih kerap jika mendapat sambutan.

Peniaga lain yang berminat menyertai pasar tani khas ini atas dasar tanggungja­wab dengan syarat sanggup memberikan diskaun atas barangan dijual, katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia