Utusan Borneo (Sarawak)

Guru digalak jadi ahli YGMB, nikmati bantuan dan faedah

-

KUCHING: Golongan pendidik digalak menjadi ahli persatuan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) supaya dapat menikmati pelbagai manfaat.

Pengerusi YGMB, Tan Sri Datuk Alimuddin Mohd Dom berkata, sebanyak 16 kelebihan ditawar kepada ahli persatuan dan antaranya pampasan jika berlaku kematian, kemalangan dan bencana.

“Setiap ahli YGMB akan menikmati semua kelebihan dan manfaat dengan hanya perlu membayar RM10 setiap bulan. Pada tahun ke-21 selepas penubuhan YGMB sejak 1994, YGMB akan memberi bantuan kebajikan bernilai sehingga RM12 juta kepada ahli.

“Pada 2014, YGMB memperuntu­k sejumlah RM2 juta kebanyakan disumbang kepada mangsa bencana banjir di Kelan- tan, Terengganu dan Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Seminar Mesyuarat Agung PraTahunan YGMB di Hotel Grand Margherita, di sini, semalam.

Tambahnya, tujuan seminar itu diadakan sebagai pemberitah­uan kepada peserta berkaitan aktiviti yang dianjur YGMB sebelum mesyuarat agung tahunan persatuan itu pada 24 April ini di Hotel Riverside Majestic.

“Kami faham segelintir maklumat di antara Kuala Lumpur dan Kuching ada yang tercicir. Justeru, hari ini ( semalam), kami mahu memberi peluang setiap peserta mendengar serta memahami apa sahaja program atau aktiviti yang diadakan oleh YGMB.

“Saya rasa ini antara alasan mengapa tidak ramai guru negeri ini menyertai YGMB, kerana kekurangan maklumat serta informasi berhubung persatuan. Kita tidak berpeluang bertemu seluruh cikgu di Sarawak,” katanya.

Alimuddin melahir harapannya supaya dapat mencapai sasaran penglibata­n sehingga 10,000 ahli YGMB pada tahun ini.

“Menjelang 2020, kami berharap mempunyai sehingga 200,000 ahli iaitu setengah daripada jumlah keseluruha­n cikgu di Malaysia,” katanya.

Alimuddin juga menyerah sumbangan derma kepada 17 ahli pada seminar itu.

Hadir sama ialah Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Freda Abdul Latip, Timbalan Presiden Kesatuan Guru Sarawak Datin Diana Tay dan Pengerusi Majlis Guru Besar Kuching Shazali Rosdi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia