Utusan Borneo (Sarawak)

Sultan Ibrahim, Raja Zarith Sofiah jalani Istiadat Siram Tabal

-

JOHOR BAHARU: Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah semalam menjalani Istiadat Siram Tabal di pekarangan Bukit Bintang, Istana Besar, di sini.

Baginda berdua berangkat ke istiadat itu pada jam 3.30 petang sebelum naik ke Panca Persada tempat bersiram diadakan.

Sultan Ibrahim yang memakai baju Melayu teluk belanga berwarna putih dan Raja Zarith Sofiah yang memakai baju kurung teluk belanga berwarna yang sama, bersemayam di peterana di Panca Persada setinggi sembilan tingkat.

Istiadat dimulakan dengan doa oleh Mufti Johor Datuk Tahrir Samsudin dan kemudianny­a disusuli istiadat menepung tawar ke atas Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah oleh bonda Sultan Ibrahim, Enche’ Besar Khalsom Abdullah.

Enche’ Besar Khalsom diiringi kekanda dan adinda Sultan Ibrahim, Tunku Pu- teri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar dan Tunku Besar Zabedah Sultan Iskandar.

Selesai Istiadat Tepung Tawar, Istiadat Siram Tabal terhadap Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian disempurna­kan Tunku Kamariah dengan menyiram air yang diambil dari 10 sungai di 10 daerah di negeri ini menggunaka­n batil (gayung).

Ketika istiadat berlangsun­g, kelihatan 19 wanita yang memegang ceper (dulang) dan batil, sembilan wanita pemegang kain tabir dan empat kerabat diraja terdekat yang membantu menjalanka­n istiadat itu.

Istiadat itu selesai dengan bacaan doa oleh Tahrir.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah kemudian berangkat meninggalk­an majlis istiadat pada kira-kira jam 4.00 petang.

Turut berangkat menyaksika­n istiadat itu, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Che’ Puan Khaleeda Bustamam, para anakanda dan kerabat diraja lain.

Turut hadir, Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan isteri Datin Seri Rosni Omar, barisan exco kerajaan negeri dan pegawai- pegawai kerajaan.

Istiadat Siram Tabal atau biasanya disebut istiadat raja bersiram dijalankan mengikut tradisi dan menjadi simbolik pembersiha­n diri serta jiwa sebelum Sultan memulakan tugas.

Istiadat Kemahkotaa­n Sultan Ibrahim sebagai Sultan Johor kelima dalam sejarah Johor Moden akan berlangsun­g Isnin ini di Istana Besar, di sini. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? ISTIADAT: Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menerima siraman air yang diambil dari 10 sungai di 10 daerah negeri Johor oleh Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar (tengah) pada Istiadat Siram Tabal di Pekarangan Bukit Bintang,...
— Gambar Bernama ISTIADAT: Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofiah berkenan menerima siraman air yang diambil dari 10 sungai di 10 daerah negeri Johor oleh Tunku Puteri Johor Tunku Kamariah Sultan Iskandar (tengah) pada Istiadat Siram Tabal di Pekarangan Bukit Bintang,...

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia