Utusan Borneo (Sarawak)

95 kes kematian akibat denggi bagi Jan-18 Mac: KP Kesihatan

-

PUTRAJAYA: Sebanyak 95 kes kematian akibat denggi direkodkan bagi Januari hingga 18 Mac lepas, berbanding 50 kes bagi tempoh sama pada 2014 iaitu peningkata­n 90 peratus atau 45 kes, menurut Kementeria­n Kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noorhisham Abdullah berkata sebanyak 30,033 jumlah kumulatif atau terkumpul kes demam denggi direkodkan di seluruh negara bagi tempoh itu.

Jumlah itu meningkat sebanyak 42 peratus atau 8,922 kes berbanding 21,111 kes bagi tempoh sama tahun lalu, katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.

“Berikutan kes demam denggi dan kematian akibat denggi masih tinggi, ke- menterian menyeru orang ramai segera mendapatka­n rawatan di klinik dan hospital jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit badan, sakit kepala, muntah, loya dan gusi berdarah,” katanya.

Bagaimanap­un, Dr Noorhisham berkata terdapat trend penurunan kes yang dilaporkan setiap minggu sejak empat minggu lalu.

“Daripada pemantauan, pada minggu ke-10 tahun 2015, iaitu dari 8 sehingga 14 Mac, sejumlah 2,275 kes demam denggi dilaporkan berbanding 2,643 kes pada minggu sebelumnya.”

Katanya sejumlah 902 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga bulan ini dan daripada jum- lah itu 259 lokaliti adalah lokaliti ‘ hotspot’ iaitu di Selangor (214), Perak (38), Sabah (enam), manakala Pulau Pinang (satu).

Dr Noorhisham juga meminta pengamal perubatan di hospital atau klinik swasta menjalanka­n ujian darah sebagai pengesahan untuk kes yang disyaki denggi atau didiagnosi­s sebagai denggi.

“Terdapat dua syarikat menawarkan Combo Rapid Test Kit dengan harga rendah kepada pengamal perubatan swasta untuk ujian darah bagi NS1, IgM dan IgG,” katanya.

Maklumat lanjut tentang produk itu boleh diperoleh menerusi laman sesawang Persatuan Perubatan Malaysia iaitu www.mma.org. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia