Utusan Borneo (Sarawak)

Kos operasi penjagaan kesihatan swasta naik sehingga empat peratus selepas GST

-

KUALA LUMPUR: Kos operasi penjagaan kesihatan swasta dijangka meningkat daripada dua hingga empat peratus selepas pelaksanaa­n cukai barang dan perkhidmat­an (GST) pada 1 April berikutan bekalan yang bercampur, kata Ketua Pegawai Eksekutif Pantai Holdings Bhd, Ahmad Shahizam Mohd Shariff.

Beliau berkata, tidak semua bekalan untuk hospital swasta dikecualik­an GST kerana barangan tertentu yang diperoleh daripada kontraktor adalah di bawah kategori penarafan standard yang tertakluk kepada cukai enam peratus.

“Akan terdapat kos tambahan kerana sebahagian besar tidak boleh dilepaskan kepada pesakit.

“Sebagai pengendali hospital, kebanyakan aktiviti dicaj kepada pesakit adalah dikecualik­an cukai, yang bermakna tidak ada tuntutan balik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Bagaimanap­un, kenaikan dua hingga empat peratus dalam kos bukanlah isu besar kerana ia agak terkawal,” katanya kepada pemberita di majlis taklimat mengenai Dana Penjagaan Kesihatan Khazanah-IHH.

Selain isu GST, Ahmad Shahizam berkata, berikutan perjumpaan di antara Persatuan Hospital Swasta Malaysia dan JKDM pagi kelmarin, yuran perundinga­n bebas swasta telah diperjelas­kan untuk berada di bawah bekalan penarafan standard dan tertakluk kepada cukai enam peratus.

Ini adalah isu hangat di kalangan mereka di hospital swasta sebelum ini mengenai kejelasan yuran dikenakan perunding bebas swasta yang menawarkan perkhidmat­an di hospital swasta, katanya.

Walaupun kebanyakan bil di hospital swasta dikecualik­an GST, komponen berkaitan yuran perundinga­n akan tertakluk kepada cukai enam peratus yang akan dikenakan kepada pesakit,” tambahnya.

Mengenai Dana Penjagaan Kesihatan Khazanah-IHH, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Bhd, Dr Tan See Leng berkata, dana itu ditubuh dengan pembiayaan RM50 juta daripada Khazanah Nasional Bhd, yang dikumpul daripada keuntungan pelaburan dalam IHH Healthcare.

Sejak ditubuhkan dua tahun lepas, sejumlah RM20 juta telah diguna untuk membantu lebih 3,100 pesakit kurang berkemampu­an dan layak di pasaran kumpulan itu di Malaysia, Singapura dan Turki sama ada ditaja sebahagian atau sepenuhnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia