Utusan Borneo (Sarawak)

Perkasa minat bersukan dalam diri belia, kata Awang Tengah

-

MIRI: Penglibata­n dalam aktiviti sukan dan ekonomi dalam kalangan belia antara platform baik menggalak serta meningkat kualiti kehidupan mereka pada masa depan.

Menteri Perancanga­n Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, golongan belia perlu diberi galakan dan sokongan di samping bijak menanam sikap ingin berjaya.

“Latih diri untuk ingin berjaya atau bersikap mahu menang dalam pelbagai usaha kita lakukan.

“Dan, ia boleh bermula daripada aktiviti bersukan atau aktiviti ekonomi asas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kejohanan Raja Libas Borneo 2015 di gelanggang bola keranjang Lawas, petang kelmarin.

Jelasnya, penganjura­n aktiviti sukan bertujuan mempromosi dan menggalak belia terlibat aktiviti sihat.

“Secara langsung, aktiviti sukan mampu meningkat semangat bersaing dalam kalangan peserta selain menggalak lebih fokus bagi mencapai kejayaan dalam pertanding­an,” ujarnya.

Beliau turut memuji usaha penganjura­n jawatankua­sa terbabit dan berharap agar diadakan penganjura­n sama pada masa akan datang.

Sementara itu, Kejohanan Raja Libas Borneo merupakan kejohanan sepak takraw dan kesinambun­gan program pada bulan Oktober tahun lalu di peringkat zon dan cawangan.

Justeru, penganjura­n julung kali di Lawas mendapat sambutan mengalakka­n dengan lebih 80 penyertaan dari Sarawak, Sabah dan Semenanjun­g Malaysia.

Bagaimanap­un, hanya 32 pasukan dipilih memandangk­an penyertaan terhad untuk lokasi dan penganjura­nnya.

Penasihat acara merangkap Timbalan Pengerusi PBB Bukit Sari Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa berkata, penganjur teruja dengan penyertaan memberangs­angkan dan luar jangkaan termasuk penyertaan dari Semenanjun­g Malaysia.

Katanya jawatankua­sa penganjur terpaksa mengehad penyertaan kepada 32 pasukan iaitu 10 penyertaan dari Sabah, Brunei (tiga), Labuan (dua) dan Sarawak (17).

“Jangan risau, kita kembali pada tahun depan,” katanya yang memberi harapan untuk mengalu-alukan penyertaan pada tahun depan.

Kejohanan itu merupakan anjuran bersama Armada Pemuda PBB Bukit Sari dan Persatuan Sepak Takraw Bahagian Limbang.

Kejohanan Libas Borneo bermula pada 21 Mac dan berakhir pada petang semalam (22 Mac).

Juara membawa pulang Piala Pusingan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berserta wang tunai RM5,000, diikuti tempat kedua menerima wang tunai RM3,000 dan RM1,000 di tempat ketiga.

Selain program kejohanan, turut disedia sejumlah 120 gerai aneka jualan melibatkan peniaga tempatan dan dari luar kawasan Lawas.

Turut diadakan gerai maklumat berhubung pendidikan yang disedia khas untuk pelajar lepasan MRSM, UiTM, Institut Kemahiran MARA, GIATMARA dan lain-lain.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan ADUN Lambir Ripin Lamat

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia