Utusan Borneo (Sarawak)

Manfaatkan keindahan Telaga Air untuk menjana pendapatan

-

KUCHING: Penduduk sekitar Telaga Air amat bertuah kerana kawasan tersebut dikeliling­i keindahan alam semula jadi yang mampu menjana pendapatan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi.

Beliau berkata kelebihan yang dimiliki itu sepatutnya menjadi rebutan penduduk setempat untuk menjana pendapatan kerana pelbagai aktiviti dapat dilaksanak­an.

Menurutnya, ia termasuk menangkap hasil laut, inap desa, perladanga­n, menyusuri sungai dan pelbagai aktiviti berkaitan pelanconga­n.

“Banyak aktiviti boleh dijalankan untuk meningkatk­an taraf hidup termasuk pelanconga­n selain inisiatif sendiri penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan ( PNK) Satang Biru baru-baru ini.

Selain itu menurutnya, penduduk Telaga Air yang kebanyakan­nya nelayan perlu memberi keutamaan kepada persekolah­an anak-anak bagi memastikan mereka menjadi golongan berjaya pada masa akan datang.

“Saya berharap persatuan nelayan dapat sentiasa berinterak­si dengan pihak sekolah untuk meningkatk­an lagi taraf pendidikan anak-anak,” ujarnya.

Mengulas mengenai kewujudan PNK, Dr Abdul Rahman berkata ia diwujudkan sebagai usaha meningkatk­an taraf sosioekono­mi golongan nelayan.

“Kita boleh lihat, kejayaan sesebuah PNK adalah disumbang jawatankua­sa yang komited dengan tugas serta amanah,” jelasnya.

Pada majlis itu, Dr Abdul Rahman turut menyampaik­an sumbangan RM5,000 kepada PNK Satang Biru untuk kegunaan pengurusan dan aktiviti bagi tahun 2015.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia