Utusan Borneo (Sarawak)

Kekal kebersihan di kawasan rumah, elak pelbagai penyakit berjangkit

-

KUCHING: Masyarakat setempat disaran terus mengekalka­n kebersihan di kawasan rumah masing-masing bagi mengelak pelbagai penyakit berjangkit terutama demam denggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, masyarakat perlu sedar kepentinga­n membersih persekitar­an termasuk memusnahka­n tempat pembiakan nyamuk aedes seperti di kawasan air bertakung.

Ia kerana nyamuk aedes boleh menyebabka­n penyakit demam denggi sehingga mengakibat­kan maut, ujarnya.

Justeru, beliau menasihati pemimpin masyarakat di semua kawasan di bawah pentadbira­nnya, khususnya agar mengambil inisiatif menganjurk­an gotong- royong secara berterusan di kediaman masing-masing.

“Di sini saya ingin merayu kepada semua pemilik rumah agar peka dalam menjaga kebersihan rumah masingmasi­ng dan memastikan tidak ada ruang atau tempat yang boleh menakung air sekali gus menyebabka­n pembiakan jentik-jentik.

“Selain dapat mencegah penyakit berjangkit yang tidak diingini, aktiviti gotongroyo­ng seperti ini dapat juga dijadikan sebagai amalan senaman dan menyihatka­n tubuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai gotong- royong bersama penduduk Kampung Siol Kandis dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Pejabat Daerah Kuching.

Mengulas lanjut, Hasidah yang juga setiausaha politik Ketua Menteri menegaskan bahawa penjagaan kebersihan persekitar­an bukan menjadi tanggungja­wab pihak berkuasa tempatan ( PBT) semata-mata sebaliknya perlu dipikul bersama.

“Adalah penting untuk menjaga kebersihan rumah dan tempat awam supaya tidak ada tempat bagi nyamuk aedes membiak.

“Paling menyedihka­n, masyarakat hari ini lebih suka bersikap ‘membiarkan’ dan mereka tidak berminat mengambil bahagian dalam aktiviti gotong-royong dan lebih suka membiarkan orang lain menyelesai­kan masalah tersebut,” tegasnya sambil melahirkan harapan agar sikap seumpama itu dibuang jauh dari diri individu.

Sementara itu Penghulu Kampung Siol Kandis Amin Abdullah berkata, gotongroyo­ng itu diadakan berikutan terdapat dua kanak-kanak dari kampung berkenaan telah dijangkiti wabak denggi.

“Meskipun salah seorang pesakit telah bebas denggi dan dibenarkan keluar dari hospital manakala seorang lagi masih mendapat rawatan di hospital, kita tidak mahu perkara sebegini berulang lagi pada masa akan datang.

“Kita mahu memupuk kesedaran dan kepentinga­n mengetahui bahaya wabak denggi dalam kalangan penduduk sekali gus membudayak­an aktiviti menjaga kebersihan kediaman buat selama-lamanya,” katanya.

Amin turut memberi jaminan akan mengadakan gotong-royong di kampung itu sebanyak enam kali sepanjang tahun ini.

Terdahulu, kira- kira 50 penduduk Kampung Siol Kandis bersama pegawai DBKU, JKN dan ketuaketua masyarakat menyertai gotong- royong membersihk­an kampung di Lorong 5 dan 6.

Hadir sama Pemanca Rashidi Junai, Temenggung Helmi Mohd Gol, Pemanca John Tambie, Penghulu Philip Entawan dan Ketua Kaum Alexander Bolhassan.

 ??  ?? KAMI PRIHATIN: Hasidah (berdiri tengah) merakam kenangan bersama ketua dan pemimpin masyarakat serta penduduk Kampung Siol Kandis selepas menyertai gotong-royong di kampung itu, semalam.
KAMI PRIHATIN: Hasidah (berdiri tengah) merakam kenangan bersama ketua dan pemimpin masyarakat serta penduduk Kampung Siol Kandis selepas menyertai gotong-royong di kampung itu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia