Utusan Borneo (Sarawak)

Kes demam denggi meningkat 31 peratus

-

GEORGE TOWN: Sebanyak 30,651 kes demam denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga kelmarin, berbanding 21,247 kes pada tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pihaknya memandang serius peningkata­n kes demam denggi yang direkodkan di seluruh negara kerana ia meningkat sehingga 31 peratus.

“Sebanyak 98 kes kematian dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan, berbanding hanya 53 kes kematian pada tahun lepas. Selangor masih mencatatka­n jumlah kes dan kematian tertinggi.

“Di Pulau Pinang 1,352 kes dicatatkan dan jumlah itu meningkat kira-kira 64 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 487 kes,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Persatuan Ibu Tunggal Pulau Pinang, di sini semalam.

Beliau meminta semua pihak termasuk isi rumah agar terus melakukan pemeriksaa­n sendiri di premis masingmasi­ng sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu bagi memastikan tiada peralatan atau perkakasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk.

“Berikutan kes demam denggi semakin meningkat, saya menggesa orang ramai agar bersama-sama menjaga kebersihan di kawasan rumah masing-masing dalam usaha menghapusk­an nyamuk aedes,” katanya.

Dr Hilmi turut menyeru orang ramai segera mendapatka­n rawatan di klinik berhampira­n jika mengalami gejala demam denggi seperti demam, sakit badan, sakit kepala, muntah dan loya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, beliau yang juga Anggota Parlimen Balik Pulau menggesa ibu-ibu tunggal yang belum berdaftar dengan persatuan berkenaan diminta berbuat demikian bagi memudahkan bantuan disalurkan kepada mereka.

“Selain bantuan, persatuan itu juga dapat membantu ibuibu tunggal untuk berkongsi maklumat dan berbincang mengenai hala tuju mereka dalam meneruskan kehidupan.

“Saya dimaklumka­n setakat ini baru 2,000 ibu tunggal di negeri ini berdaftar sedangkan saya difahamkan lebih ramai golongan berkenaan di Pulau Pinang,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia