Utusan Borneo (Sarawak)

Wales gembira memasuki senarai 10 pasukan teratas

-

LONDON: Pasukan kebangsaan Wales yang dianggotai Gareth Bale mengambil langkah baharu yang besar dalam kenaikan mereka yang menakjubka­n dalam sukan bola sepak pada Khamis lepas apabila mereka memasuki kelompok 10 pasukan teratas pada peringkat antarabang­sa buat pertama kali dan menjadi salah satu pasukan pilihan utama di Eropah untuk layak ke kejohanan Piala Dunia. Pasukan Chris Coleman semakin mencapai matlamat untuk layak ke Kejohanan Eropah pada tahun depan. Sebagai satu daripada sembilan pasukan Eropah yang menduduki ranking sembilan teratas, mereka akan menjadi pasukan pilihan dalam undian pertanding­an kelayakan Piala Dunia pada 25 Julai di St Petersburg.

Jerman, Belgium, Belanda, Portugal, Romania, England, Wales, Sepanyol dan Croatia merupakan pasukan-pasukan pilihan di Eropah. Pasukan seperti Itali dan Perancis tersisih selepas mereka jatuh dalam ranking dunia baharu yang dikeluarka­n Khamis lepas.

Coleman, pengurus Wales, berkata kenaikan itu mencermink­an usaha di atas padang – di mana Wales menewaskan Belgium dalam perlawanan kelayakan Euro 2016 yang dramatik pada bulan lepas – dan di belakang tabir.

“Ia adalah hebat bagi usaha pasukan untuk diiktiraf bersama mereka yang sudah memainkan peranan penting di luar padang, daripada kakitangan bilik belakang hingga kepada penyokong kita yang cemerlang,” kata Coleman kepada FAW Radio.

Selepas kemenangan mereka ke atas Belgium, Wales mendahului dengan kelebihan tiga mata di tempat teratas Kumpulan B dengan baki empat perlawanan lagi ketika mereka cuba mara ke kejohanan penting pertama mereka sejak 1958. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia