Utusan Borneo (Sarawak)

Bantu ibu tunggal untuk bangkit semula

- Oleh Sakini Mohd Said

“EMAK, adik hendak baju raya”, kelu lidah wanita ini sebaik mendengar rintihan dan permintaan anak-anaknya yang ingin bergaya dengan baju baharu pada 1 Syawal nanti.

Tetapi, apakan daya Noraini Abdul Rahman, 31, kerana beliau memang tidak mampu membeli walau sehelai baju baharu pun buat empat orang anaknya.

Sudah tiga tahun, anak-anak wanita ini langsung tidak dapat merasai kegembiraa­n berhari raya seperti rakan-rakan yang sebaya umur dengan permata hati kesayangan­nya itu.

Sekadar memendam rasa impian memakai baju raya dan kasut baharu, nikmat berbuka puasa anak-anak ini juga tidak sesempurna seperti mereka yang lain.

Pada ketika orang enak menjamu selera dengan pelbagai juadah, Noraini dan empat orang anaknya ada kala terpaksa berbuka puasa berlaukkan garam sahaja.

Semuanya gara-gara mengikut suaminya seorang warga Indonesia tiga tahun lepas dan kemudian ditinggalk­an begitu sahaja di sebuah perkampung­an di Batam tanpa ada sebarang nafkah sekali pun.

Keperitan hidup dihadapi apatah lagi selama itulah anak-anaknya tidak dapat bersekolah, wanita kelahiran Johor Baharu ini nekad kembali ke Malaysia biarpun diugut cerai talak tiga sekiranya meninggalk­an rumah suami.

“Yang penting bagi saya, adalah melihat anak-anak mempunyai pelajaran, selain mahu mereka merasai kembali nikmat berhari raya seperti anak-anak lain,” katanya.

Terpaksa meredah jalan haram menggunaka­n tongkang, dia yang lebih dikenali sebagai Ani bersama empat cahaya matanya menggadai nyawa untuk sampai di satu kawasan di Johor pada April lepas.

Niat di hati untuk memohon teduh kasih di rumah ibu bapanya bagaimanap­un tidak kesampaian apabila mereka enggan menerimany­a kembali disebabkan tindakanny­a mengahwini warga Indonesia itu.

Langsung tiada arah tujuan, anak-beranak ini terpaksa menumpang di beberapa masjid sehinggala­h akhirnya dibawa oleh seorang kakak angkatnya ke Rumah Titian Kaseh (RTK) yang terletak berdekatan Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur.

Di rumah perlindung­an yang menempatka­n anak-anak tidak bernasib baik, warga emas dan ibu-ibu tunggal inilah, Ani mula mendapat cahaya kehidupan.

Tidak hanya diberi tempat penginapan, anak-anak dapat bersekolah kembali.

MAHU BERDIKARI

Tetapi, apa yang lebih penting kepadanya adalah pengetahua­n, pendedahan kemahiran yang diperolehi­nya di RTK akan menjadi bekalan bermakna apabila memulakan kehidupan sendiri nanti.

“Saya seronok di sini kerana kami diajar memasak, membuat aksesori wanita seperti kerongsang, gelang, menjahit dan membuat kuih-muih, kerepek serta pelbagai jenis biskut,” katanya.

Kemahiran dipelajari­nya itu, membolehka­n Ani bersama-sama dengan ibu tunggal lain menggunaka­n kemahiran yang ditimba untuk menjana pendapatan termasuk dengan menjual biskut-biskut raya sepanjang Ramadan ini.

Selain menampung kos operasi rumah kebajikan ini, Ani yang akan diberi elaun berdasarka­n hasil jualan barangan buatannya ada mempunyai perancanga­n istimewa untuk anak-anaknya itu.

“Anak-anak ada cakap mereka hendak baju dan seluar raya serta mengajak saya membelibel­ah di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) bersama mereka.

“Dengan elaun yang diterima hasil jualan kemahiran buat biskut raya ini, saya hendak gunakannya untuk beli baju baharu dan kasut buat mereka, sudah lama anak-anak tidak bergaya,” katanya yang begitu teruja.

Bagi wanita ini, biarpun mengetahui anakanakny­a tidak terkecuali daripada menerima sumbangan baju raya namun Ani masih tetap mahu mereka memakai pakaian yang dibeli hasil pendapatan­nya sendiri.

Lagipun, sudah lama ibu kepada tiga anak lelaki dan seorang perempuan ini memasang hasrat untuk membeli-belah persiapan raya bersamasam­a dengan mereka.

Rutin Ani bersama ibu tunggal lain membuat biskut dan kerepek bermula selepas mereka melaksanak­an tugas wajib yang telah ditetapkan seperti mengemas, mencuci pakaian dan memasak.

Kebiasaann­ya sepanjang Ramadan bermula tengah hari, mereka semua saling bekerjasam­a untuk membuat biskut-biskut itu.

“Yang pandai akan mengajar yang tidak tahu buat.

“Langsung tidak ada perasaan hasad dengki atau kedekut ilmu dan tidak mahu melihat ada yang berjaya,” katanya.

“Segala petua dikongsi, contohnya, kenapa tepung itu keras, mengapa bila dibentuk tidak menjadi dan sebagainya.

“Kami bagaikan adik beradik,” katanya.

Menurut Ani, kehidupan di sini telah banyak membantuny­a banyak perkara termasukla­h agama.

Biarpun gembira menikmati kehidupan lebih teratur, wanita ini juga mempunyai impian untuk hidup berdikari bersama anak-anaknya satu hari nanti.

“Elaun daripada penjualan biskut raya, kerepek dan memasak di gerai akan saya simpan untuk bekalan memulakan kehidupan di luar sana,” katanya.

BERKONGSI ILMU

Sementara itu lima tahun menetap di RTK, wanita yang hanya dikenali sebagai Zara antara yang berjaya hidup berdikari hasil pembelajar­an diperolehi­nya sepanjang menetap di RTK.

Pengalaman dan kemahiran yang ditimbanya di situ membolehka­n ibu kepada lima orang anak ini memulakan perniagaan sendiri menjual nasi kukus ayam goreng berempah di Taman Tasik Titiwangsa.

Menariknya, hasil jualan itu telah membolehka­nnya menyewa rumah Program Perumahan Rakyat (PPR).

“Saya langsung tidak tahu macam mana hendak buat nasi kukus tetapi saya telah diajar cara untuk menyediaka­n rempah dan gulai kari, dua perkara penting nasi kukus ayam goreng berempah,” katanya.

Walaupun telah mempunyai bisnes sendiri, Zara tidak melupakan jasa rumah kebajikan itu dan kawankawan­nya yang masih lagi menetap di RTK.

Seringkali meluangkan masa mengunjung­i rumah itu, wanita ini turut sama membantu mereka membuat biskut dan makanan sejuk beku.

“Apabila ada masa, saya juga akan berkongsi ilmu masakan dengan mereka.

“Selain itu, ketika inilah kami dapat bertanya khabar dan cerita,” ujarnya.

Mengulas mengenai peranan rumah perlindung­an itu, Pengasas dan Pengetua RTK Sharifah Adlan berkata, kesemua ibu tunggal yang menghuni di sini wajib mempelajar­i apa-apa sahaja kemahiran sebagai persediaan masa depan mereka.

Tidak ada pengecuali­an, projek ini yang telah berjalan selama 19 tahun telah banyak membantu penghuni ibu tunggal sebelum ini untuk hidup berdikari.

Selain diajar membuat biskut, kerepek, menjahit dan produk kraf tangan, ibu-ibu tunggal ini juga diberi pendedahan untuk berani mengambil tempahan katering daripada badan-badan korporat mahupun pihak swasta.

Dengan adanya hasil penjualan ini yang tujuan utamanya bagi menyara kos operasi RTK, elaun yang diperolehi oleh ibu-ibu tunggal ini boleh dijadikan simpanan dan digunakan untuk perbelanja­an hari Raya.

“Ini bukan projek Ramadan tetapi setiap hari bagi menjana pendapatan.

kebanyakan ibu tunggal yang baru di sini tidak tahu memasak, membuat kuih, dan pelbagai kemahiran lain,” ujarnya.

“Mereka dibantu. Setiap satu produk, ada ketuanya.

“Macam Mak Zizah jaga produk makanan sejuk beku dan beliaulah yang akan mengajar mereka,” katanya.

Antara produk dihasilkan, muruku, popia serunding simpul kasih, kuih siput, rempeyek dan pelbagai lagi yang dijual di pekarangan kawasan rumah kebajikan ini. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERDIKARI: Noraini (kanan) dan rakannya sibuk menguruska­n produk yang dihasilkan penghuni RTK untuk dijual di pekarangan kawasan rumah kebajikan itu berdekatan Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur.
— Gambar Bernama BERDIKARI: Noraini (kanan) dan rakannya sibuk menguruska­n produk yang dihasilkan penghuni RTK untuk dijual di pekarangan kawasan rumah kebajikan itu berdekatan Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia