Utusan Borneo (Sarawak)

Indeks Pengeluara­n Perindustr­ian M’sia meningkat 4.5% pada Mei 2015

-

KUALA LUMPUR: Indeks Pengeluara­n Perindustr­ian Malaysia (IPP) berkembang sebanyak 4.5 peratus pada Mei 2015 berbanding tempoh sama setahun lepas, disokong pertumbuha­n positif dicatatkan sektor pembuatan, perlombong­an serta elektrik.

Dalam satu kenyataan semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, sektor pembuatan meningkat 3.2 peratus, perlombong­an (9.0 peratus) dan elektrik (1.2 peratus).

Menurutnya, IPP pada April 2015, kekal tidak berubah sebanyak 4.0 peratus bagi tahun ke tahun.

Bagi perbanding­an bulan ke bulan dalam pelarasan musim, IPP pada Mei 2015 meningkat 1.5 peratus, berikutan peningkata­n pembuatan (0.4 peratus) dan perlombong­an (4.0 peratus). Namun, indeks bagi elektrik susut sebanyak 1.3 peratus.

Bagi perbanding­an bulan ke bulan, output pembuatan mencatat pertumbuha­n lebih perlahan sebanyak 3.2 peratus pada Mei 2015 berbanding 4.2 peratus pada April 2015.

“Sub-sektor utama yang meningkat pada Mei 2015 adalah produk petroleum, bahan kimia, getah dan plastik ( 3.8 peratus), produk elektrik dan elektronik (4.0 peratus) dan produk mineral bukan metalik, logam asas dan produk logam fabrikasi (2.8 peratus),” kata kenyataan itu.

Bagi asas pelarasan musim bulan ke bulan, margin output pengeluara­n meningkat sebanyak 0.4 peratus pada Mei 2015.

Output sektor perlombong­an pertumbuha­n kukuh sebanyak 9.0 peratus pada Mei berbanding bulan sama bagi 2014, dipacu peningkata­n indeks minyak mentah sebanyak 18.8 peratus. Bagaimanap­un, indeks gas asli merosot sebanyak 1.9 peratus.

Bagi output pelarasan musim, sektor perlombong­an meningkat sebanyak 4.0 peratus berbanding April 2015.

Output sektor elektrik berkembang sebanyak 1.2 peratus pada Mei bagi perbanding­an tahunan manakala untuk pelarasan musim, ia merosot 1.3 peratus pada bulan itu berbanding sebelumnya.

Bagi Januari hingga Mei, IPP berkembang sebanyak 5.6 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, didorong peningkata­n semua indeks iaitu pembuatan (4.8 peratus), perlombong­an (8.1 peratus) dan elektrik (3.2 peratus). — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia