Utusan Borneo (Sarawak)

Delegasi Belanda pantau amalan pengurusan hutan mampan di Temerloh

-

KUALA LUMPUR: Perwakilan dari Belanda semalam melawat Hutan Simpan Lakum di Temerloh, Pahang, bagi memantau amalan pengurusan hutan mampan di sana.

Delegasi itu diketuai oleh Menteri Pertanian Belanda Sharon Dijksma dan Duta Besarnya ke Malaysia Harry Molenaar.

Lawatan itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Perhutanan Pahang dan Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC).

Timbalan Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (Operasi) Datuk Lim Kee Leng berkata lawatan itu merupakan sebahagian daripada program kunjungan rasmi Menteri Belanda ke negara ini sempena mesyuarat kedua Kumpulan Kerja Bersama mengenai kayu dan komoditi Malaysia-Belanda pada 7 Julai di Kuala Lumpur.

“Antara agenda mesyuarat itu ialah penerimaan penuh Skim Pensijilan Kayu Malaysia (MTCS) di bawah Dasar Perolehan Belanda bagi kayu mampan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MTCC Yong Teng Koon berkata pertubuhan itu memperoleh skim pensijilan kayu tropika pertama di Asia Pasifik, yang akan disahkan menerusi program yang berpangkal­an di Switzerlan­d untuk Pengesahan Sijil Perhutanan (PEFC).

“Sebagai satu skim persijilan kebangsaan, MTCS komited untuk mempromosi­kan pengurusan hutan mampan.

“Ini bertujuan memastikan sumber semula jadi kita diurus dengan penuh tanggungja­wab dan pada masa yang sama berdaya maju dari segi ekonomi, sosial dan mesra alam untuk generasi akan datang,” katanya.

Pada 2014, eksport kayu dan produk kayu Malaysia ke Belanda bernilai RM398.9 juta, peningkata­n 32 peratus berbanding RM302.16 juta pada 2013.

Komoditi lain yang dieksport termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM7.09 bilion, keluaran getah dan getah bernilai RM259.04 juta dan koko dan produk koko sebanyak RM50.91 juta. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia