Utusan Borneo (Sarawak)

Tiga lelaki asing dipenjara masuk Sarawak secara haram

-

MIRI: Tiga lelaki warga asing dalam dua kes berasingan masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen pagi semalam kerana kesalahan masuk ke negeri ini secara haram.

Mahkamah memerintah­kan hukuman penjara ke atas kedua-dua tertuduh dikuatkuas­akan mulai tarikh tangkapan.

Yanto Asah, 40; Sakarias Jahari, 31, dan Dedi, 19, kesemuanya dari Indonesia telah didakwa mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, mereka boleh didenda RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua- duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, Yanto dan Sakarias telah ditahan pada jam 5.27 petang, 15 September lalu di Kampung Melayu, Beluru untuk tujuan pemeriksaa­n kerana dipercayai warga asing.

Hasil pemeriksaa­n mendapati kedua-dua tertuduh adalah warga negara Indonesia dan masuk ke negeri ini tanpa mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Berikutan itu, kedua-dua tertuduh telah ditangkap dan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.

Manakala Dedi ditangkap pada jam 6.15 pagi, 11 September lalu di sebuah rumah kontena di tapak semaian Marina Bay di sini kerana kesalahan sama.

Mahkamah kemudian turut memerintah­kan ketiga-tiga tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran sebaik selesai menjalani hukuman penjara kelak.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Nor di hadapan Hakim Marutin Pagan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia