TTPRS arah pemaju bayar RM5,600 kepada pembeli rumah
KUCHING: Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah Sarawak (TTPRS) mengarahkan sebuah syarikat pemaju tempatan membayar RM5,600 kepada pihak yang menuntut, Lee Kiat Hui dalam tempoh 45 hari bermula semalam.
Dalam perbicaraan semalam, responden memberitahu tribunal bahawa semasa rundingan selama 15 minit, penuntut bersetuju mengurangkan jumlah tuntutan daripada jumlah asal RM6,400 bagi kerugian kerosakan tertentu (LAD).
Peter Lim Thiam Seng selaku presiden perbicaraan yang diadakan di Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama, dibantu ahli panel Morni Wahie dan Bester Agas Michael.
Menurut fakta ringkas kes, Lee membeli sebuah rumah bernilai RM254,000 di Muara Tuang dekat sini di bawah perjanjian jual dan beli pada 15 April 2011.
Permit menduduki telah dikeluarkan pada 20 Oktober 2014, bagaimanapun rumah itu hanya diserahkan kepada Lee pada 2 April 2015.
Berdasarkan fakta itu, Lee mengemukakan aduan kepada TTPRS untuk dibicarakan.
Sementara itu, TTPRS telah berjaya menyelesaikan 14 kes setakat 14 September 2015 membabitkan jumlah keseluruhan tuntutan kerugian RM70,040.
Manakala pada tahun lepas (2014) TTPRS telah menyelesaikan 15 kes dengan keseluruhan tuntutan kerugian RM19,650 dan bagi 2013, 19 kes diselesaikan membabitkan jumlah tuntutan kerugian RM191,322.75.