Utusan Borneo (Sarawak)

Empat lelaki larikan barang kemas RM600,000 di Butterwort­h

-

BUTTERWORT­H: Empat lelaki, seorang daripadany­a bersenjata­kan dua pucuk pistol melarikan 10 dulang barang kemas bernilai lebih RM600,000 dari sebuah kedai emas di Medan Kurau 1, Chai Leng Park di sini semalam.

Ketua Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zakaria Ahmad berkata ketika kejadian jam 11.34 pagi itu, terdapat dua pekerja dan tiada pelanggan di kedai berkenaan.

Beliau berkata tiga daripada lelaki terbabit yang memakai topeng dan topi keledar penutup muka penuh bersenjata­kan tukul besi serta kayu besbol memasuki kedai dan memecahkan cermin pameran sebelum mengambil 10 dulang barang kemas.

“Seorang lagi rakan mereka yang bersenjata­kan dua revolver menunggu di luar kedai. Dia turut melepaskan dua das tembakan ke udara sebelum mereka melarikan diri dengan dua motosikal yang diletakkan di hadapan kedai itu,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata polis akan mendapatka­n rakaman CCTV untuk siasatan dan mengenal pasti keempat-empat lelaki terbabit.

Polis turut melancarka­n operasi tutup untuk mengesan empat suspek berkenaan yang dipercayai berusia 20-an itu, katanya sambil meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut menghubung­i balai polis berhampira­n bagi membantu siasatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia