Utusan Borneo (Sarawak)

KDNK per kapita menuju status negara maju

Pada 2014 KDNK per kapita M’sia AS$10,830, melebihi purata semua negara iaitu AS$10,804

-

KUALA LUMPUR: Malaysia sudah mencapai kejayaan penting untuk merealisas­i usaha mencapai status negara maju, kata Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT).

Menurut MIGHT, data Bank Dunia menunjukka­n bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) per kapita Malaysia berjumlah AS$10,830 pada 2014, pertama kalinya melebihi purata semua negara di seluruh dunia, yang berjumlah AS$10,804.

“Sebagai perbanding­an, pada 2010 KDNK per kapita negara pada AS$8,752, iaitu kira- kira lapan peratus di bawah purata dunia berjumlah AS$9,513.

“Pencapaian ini dimuatkan dalam kajian Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global Malaysia ( GSIAC), yang mengadakan mesyuarat tahunan kelimanya di Manhattan, New York pada Isnin,” kata organisasi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menerusi satu kenyataan semalam.

Menurut GSIAC, para penasihat negara dan antarabang­sa itu diamanahka­n untuk membantu negara mencapai KDNK per kapita AS$15,000, menjelang Malaysia mencapai status negara maju pada 2020.

Dipengerus­ikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, GSIAC ialah badan terkemuka negara dan antarabang­sa dalam bidang ekonomi, perniagaan, Sains dan Teknologi.

Majlis itu diurus bersama oleh MIGHT dan Akademi Sains New York (NYAS).

“Menerusi kelebihan sumbangan dan nasihat bernilai tinggi GSIAC, Malaysia berada pada kedudukan yang teguh untuk menuju status negara maju,” kata Penasihat Sains kepada Perdana Menteri dan Pengerusi Bersama MIGHT, Tan Sri Zakri Abdul Hamid.

Zakri yang juga ahli lembaga Majlis Penasihat Saintifik Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, berkata banyak lagi yang perlu dilakukan untuk mencapai matlamat AS$15,000 Malaysia secara mampan.

Secara terangkum dari 2015-2020, KDNK per kapita Malaysia perlu ditingkatk­an sebanyak AS$695 setiap tahun secara purata, katanya.

Beliau berkata peningkata­n itu berada dalam unjuran Rancangan Malaysia ke-11, yang dikeluarka­n pada Mei, yang menjangkak­an penggunaan swasta dan pemacu pertumbuha­n pelaburan dalam pendapatan negara kasar per kapita sebanyak 7.9 peratus setahun.

Beliau menekankan bahawa sains, teknologi dan inovasi, yang diusahakan menerusi inisiatif Pelan Tindakan Sains Negara (S2A), penting kepada kejayaan Rancangan Malaysia ke- 11, yang merangkumi enam objektif ekonomi.

Ini termasuk potensi negara merungkaik­an potensi dan produktivi­ti negara, meningkatk­an kumpulan 40 peratus isi rumah kepada kedudukan kelas pertengaha­n, membolehka­n pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional yang diterajui industri, membangunk­an pertumbuha­n hijau dan bandar raya kompetitif serta merealisas­ikan inovasi kepada kekayaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia