Utusan Borneo (Sarawak)

Pemuda diseru dekati golongan muda, pupuk minat, sokongan terhadap UPP

-

KUCHING: Presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP) Dato Sri Wong Soon Koh menyeru barisan ahli Pemuda parti agar mendekati golongan muda terutama di peringkat akar umbi dan memupuk minat serta sokongan mereka untuk parti.

Jelas beliau, golongan muda hari ini mempunyai harapan yang lebih tinggi dan ia memerlukan ahli Pemuda parti untuk memainkan peranan dalam memberi keyakinan kepada mereka.

“Sebagai sebuah parti, kita memerlukan ahli Pemuda untuk mendekati rakan-rakan mereka dan mengisi jurang generasi supaya mereka dapat memahami antara satu sama lain dengan lebih baik,” katanya ketika berucap merasmikan Penubuhan Sayap Pemuda dan Wanita UPP Cawangan Padungan pada Majlis Makan Malam di Crown Square di sini, kelmarin.

Wong yang juga Menteri Kewangan Kedua merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembanguna­n Komuniti mengakui bahawa walaupun ia bukan tugas mudah namun beliau berharap dengan penubuhan sayap Pemuda parti itu, ahli-ahlinya akan dapat memainkan peranan tersebut.

“Kita boleh memenangi hati golongan muda bukan sahaja untuk menyokong parti tetapi pada masa sama untuk menyokong masyarakat dan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Wong turut menggesa sayap Wanita parti untuk membantu parti dalam berkomunik­asi dengan kaum wanita.

“Dengan wanita merangkumi kira-kira 53 peratus daripada penduduk negara ini, mereka mempunyai peranan yang penting dan saya berharap penubuhan sayap Wanita UPP Padungan akan dapat membantu parti melaksanak­an tugas ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kepada ahli-ahli UPP agar sentiasa komited membantu masyarakat.

“Menyertai parti tidak seharusnya hanya sebagai ahli tetapi anda perlu mengambil bahagian dalam aktiviti dan mengejar sesuatu yang anda percaya,” katanya.

Sempena majlis itu, Wong turut menyaksika­n upacara ikrar ahli-ahli sayap Pemuda dan Wanita UPP yang dipimpin oleh Pengerusi Pemuda UPP Yap Min Su dan Pengerusi Wanita UPP Annie Ho.

Majlis turut diselitkan dengan upacara pemotongan kek sempena ulang tahun pertama parti itu.

Hadir sama Naib Presiden merangkap Ketua Pemuda UPP Dr Johnical Rayong Ngipa, Setiausaha Agung UPP George Lo, PenasihatU­PPTemenggu­ngLu Kim Yong dan Pengerusi UPP Cawangan Padungan Datuk Wung Heok Hoi.

 ??  ?? BACA IKRAR: Wong (tiga kiri) bersama pemimpin UPP menyaksika­n upacara ikrar oleh ahli-ahli Pemuda dan Wanita UPP pada majlis makan malam di Crown Square, kelmarin.
BACA IKRAR: Wong (tiga kiri) bersama pemimpin UPP menyaksika­n upacara ikrar oleh ahli-ahli Pemuda dan Wanita UPP pada majlis makan malam di Crown Square, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia