Utusan Borneo (Sarawak)

Syarikat senarai awam Bumiputera kuasai 17.4 peratus modal pasaran Bursa Malaysia

-

KUALA LUMPUR: Syarikat senarai awam yang dikuasai Bumiputera memegang 17.4 peratus modal pasaran di Bursa Malaysia sehingga 30 Jun tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata terdapat 132 syarikat senarai awam yang dikuasai Bumiputera di Bursa Malaysia atau 14.4 peratus daripada jumlah keseluruha­n 919 syarikat di bursa berkenaan.

“55 syarikat atau 42 peratus daripada syarikat Bumiputera itu dikategori­kan sebagai ‘big cap companies’ atau syarikat berwajaran besar dengan 32 darinya telah memasuki ‘The Billionair­es Club’,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran buku Ikon PLC Bumiputera, di sini semalam.

Beliau berkata angka tersebut merupakan hasil kajian yang diterbitka­n di dalam buku tersebut, dengan gabungan kerjasama Koperasi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Kuala Lumpur Bhd (Komitmen), Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia (Pribumi), Koperasi Remisier Bumiputera Malaysia ( KRBB) serta Persatuan Penganalis­is Teknikal Malaysia (MATA).

Johari berkata, 90 peratus dari syarikat senarai awam dikuasai Bumiputera itu mencatatka­n keuntungan yang baik sejak dua tahun lepas di dalam hampir semua sektor.

Bilangan syarikat berkenaan merupakan peningkata­n sebanyak 31 peratus, satu nilai yang amat tinggi berbanding dengan penyusutan 2.3 peratus pada keseluruha­n jumlah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia, katanya.

“Sebanyak 33 syarikat telah dinyahsena­raikan di Bursa Malaysia sejak 2011, tetapi sebaliknya jumlah syarikat senarai awam Bumiputera telah meningkat sebanyak 31 syarikat.

“Ini jelas membuktika­n program memperkasa ekuiti Bumiputera di pasaran modal negara telah berjaya dengan cemerlang,” katanya.

Buku tersebut turut data empirikal dan analisis strategik kekuatan serta kelemahan golongan Bumiputera di dalam pasaran modal secara telus dan bertujuan untuk menganalis­is status dan kedudukan ekuiti Bumiputera di pasaran saham negara secara keseluruha­nnya, tambah beliau. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? DILANCAR: Johari (kanan) menerima buku yang disampaika­n oleh Pengerusi KOMITMEN Mohd Nizam Mahshar pada majlis pelancaran buku ‘Ikon PLC Bumiputera 2014-2015’ di Kuala Lumpur semalam.
— Gambar Bernama DILANCAR: Johari (kanan) menerima buku yang disampaika­n oleh Pengerusi KOMITMEN Mohd Nizam Mahshar pada majlis pelancaran buku ‘Ikon PLC Bumiputera 2014-2015’ di Kuala Lumpur semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia