Utusan Borneo (Sarawak)

Mahkamah Sesyen perintah Dr Kunaseegar­an hadir kes salah guna peralatan HATMM

-

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini, semalam memerintah­kan pakar patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) Kolonel Dr R. Kunaseegar­an hadir ke mahkamah itu pada Selasa depan berhubung kes menggunaka­n peralatan HATTM tanpa pengetahua­n hospital berkenaan.

Dr Kunaseegar­an, 52, kini direman di Penjara Sungai Buloh, dekat sini kerana dituduh bersubahat dengan tujuh lagi lelaki dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Anthony Kevin Morais pada 4 Sept lepas.

Hakim Slamat Yahya memutuskan sedemikian selepas membenarka­n permohonan perintah kehadiran (OTP) dikemukaka­n oleh peguam tertuduh Syazlin Mansor bagi membawa anak guamnya ke mahkamah untuk sebutan semula kes membabitka­n enam pertuduhan menggunaka­n peralatan HATMM tanpa pengetahua­n hospital itu.

Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM) Mohammed Heikal Ismail, yang hadir bagi pihak pendakwaan, tidak membantah permohonan berkenaan.

Selain itu, Hakim Slamat berkata pada hari itu, semua pihak perlu berbincang mengenai tarikh perbicaraa­n kes berkenaan.

Bagi enam pertuduhan itu, Dr Kunaseegar­an didakwa menggunaka­n harta kepunyaan HATMM termasuk alat ‘Microtome’, ‘Microtome Rotary System’ dan ‘Circular Parafin Floating Bath’ tanpa pengetahua­n pihak hospital berkenaan.

Dia didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di No 23 dan No 26 Galeri Empire, Jalan Empayar melalui Jalan Sultan Ibrahim, Klang dekat sini pada Jun 2010 dan April 2012.

Jika sabit kesalahan, Dr Kunaseegar­an boleh dipenjara sehingga lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Pada 18 Sept lepas, mahkamah sama menetapkan 19 Okt ini bagi sebutan semula satu lagi kes dihadapi tertuduh iaitu melibatkan diri dalam perniagaan selaku penjawat awam berikutan kematian Kevin Morais, selaku timbalan pendakwa raya kes itu.

Selain dua kes berkenaan, doktor itu turut menghadapi satu lagi kes iaitu meminta dan bersetuju menerima rasuah RM700,000 daripada seorang pemilik syarikat pembekal peralatan perubatan di Mahkamah Sesyen di sini.

Kevin Morais sebelum ini mengendali­kan pendakwaan bagi ketiga-tiga kes itu.

Pada 28 Sept lepas, Dr Kunaseegar­an didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tuduhan bersubahat dengan G. Gunasekara­n, 47; R. Dinishwara­n, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravi Chandaran, 44; yang didakwa bersama-sama membunuh Kevin Morais, 55, dalam perjalanan dari Jalan Dutamas Raya, Sentul, Kuala lumpur, ke No 1, Jalan USJ 1/6D Subang Jaya, dekat sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 7 pagi hingga 8 malam 4 Sept lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dr Kunaseegar­an pula didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 302 kanun sama, yang turut membawa hukuman mati mandatori.

Kevin Morais dilaporkan hilang pada 4 Sept selepas kali terakhir dilihat meninggalk­an pangsapuri­nya di Menara Duta, Kuala Lumpur untuk ke pejabatnya di Putrajaya dengan menaiki kereta Proton Perdana bernombor pendaftara­n WA6264Q.

Namun, mayat mendiang ditemui dalam tong dram berisi konkrit di Taman Perumahan USJ 1, Persiaran Subang Mewah dekat sini pada 16 Sept lepas. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia