Utusan Borneo (Sarawak)

Diserang sawan, lelaki nyaris rentung kereta terbabas, terbakar

-

KUCHING: Gara-gara diserang penyakit sawan, seorang lelaki hampir rentung apabila dia gagal mengawal keretanya sehingga terbabas lalu terbakar di bahagian enjinnya semalam.

Mangsa berusia 37 tahun itu dikatakan baharu selesai mengisi minyak keretanya di sebuah stesen minyak di Jalan Kereta Api di sini sekitar jam 1.30 petang.

“Mangsa menurut pekerja di situ memang sering dilihat membeli minyak di stesen minyak berkenaan dan tadi (semalam) selepas membeli minyak tiba-tiba dilihat keretanya berundur laju sehingga terbabas.

“Selepas itu, kelihatan juga asap mula keluar dari bahagian enjin kereta menyebabka­n beberapa pekerja di stesen minyak berkenaan terus mengangkat mangsa yang dipercayai diserang sawan keluar dari dalam keretanya.

“Api pada enjin kereta mangsa berjaya dipadamkan sebelum ia semakin marak,” kata saksi yang ditemui di tempat kejadian.

Difahamkan juga, mangsa terdahulun­ya dibawa masuk ke dalam kedai stesen minyak berkenaan sebelum dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatka­n rawatan.

Sementara dalam kejadian berasingan, seorang lelaki tersepit di dalam keretanya selepas dirempuh sebuah pikap yang terbabas dari arah bertentang­an di Jalan Bukit Hantu, semalam.

Kemalangan sekitar jam 8 pagi itu berlaku ketika mangsa yang berusia 54 dalam perjalanan dari rumahnya di Kenyalang Park menuju ke tempat kerjanya.

Menurut sumber, sebuah pikap dari arah bertentang­an terbabas apabila dikatakan cuba mengelak dari melanggar sebuah kereta sehingga memasuki laluan mangsa.

“Mangsa tidak sempat mengelak pikap tersebut, sehingga keretanya dirempuh laju dan mangsa yang tersepit di dalam keretanya itu terpaksa dikeluarka­n dengan bantuan daripada anggota dari Balai Bomba Batu lintang,” kata sumber.

Sehingga berita ini ditulis semalam, mangsa yang dikejarkan ke HUS menggunaka­n ambulans dilaporkan stabil namun masih menerima rawatan di Unit Kecemasan HUS.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia