Utusan Borneo (Sarawak)

Dua anggota polis cedera disyaki ditembak pengedar dadah

-

KOTA KINABALU: Dua anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah cedera terkena tembakan dipercayai dilepaskan pengedar dadah ketika operasi di kawasan Jalan Sepanggar - Salut, di sini semalam.

Pesuruhjay­a Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata Sarjan Mejar Sabturani Maul cedera di kepala manakala rakannya, Konst Tong Wilson cedera di kepala, badan dan hidung.

Katanya kedua-dua anggota itu telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, untuk rawatan.

“Kejadian berlaku ketika mereka memeriksa seorang suspek yang ditahan dan secara tiba- tiba terdengar bunyi letupan yang dipercayai tembakan daripada senjata buatan sendiri.

“Tembakan itu dipercayai dilepaskan suspek lain yang berada di kawasan bukit berdekatan. Akibatnya, dua anggota itu mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Sebelum kejadian, kata Jalaluddin, sepasukan polis diketuai Insp Siri Piuh melakukan operasi di kawasan Jalan Sepanggar-Salut, berdekatan bulatan Pusat Komersial Salut, di sini pada jam 2 petang selepas menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah di kawasan itu.

Katanya apabila tiba di kawasan tersebut, dua lelaki berada dalam keadaan mencurigak­an dan mereka kemudian cuba melarikan diri apabila polis memperkena­lkan diri.

Seorang daripada mereka berjaya ditangkap dan pemeriksaa­n ke atasnya mendapati dia tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan di dalam poket seluarnya terdapat dua paket disyaki syabu.

Bagaimanap­un, rakannya berjaya melarikan diri ke kawasan bukit dan sepasukan anggota telah dikerah ke tempat kejadian untuk mengesan suspek yang dipercayai melepaskan tembakan itu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia