Utusan Borneo (Sarawak)

Tujuh sekeluarga hilang tempat berteduh

-

MUKAH: Tujuh sekeluarga hilang tempat berteduh apabila rumah mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Jebungan di sini, awal pagi semalam.

Menurut pemilik rumah, Luhi Mersi, 67, kejadian itu disedari apabila terdengar bunyi letupan sebelum mendapati api marak di meter elektrik utama rumah yang berusia 20 tahun itu, ketika ribut petir serta hujan melanda.

Tanpa membuang masa katanya, dia bertindak terjun dari tingkap setinggi tiga meter dari tanah untuk menunggu dan menyambut empat cucu lelaki yang masih berada bersama anak lelakinya, Saini Luhi serta isteri di dalam rumah.

“Api semakin marak dan ketika itu hujan lebat turun, saya mengarahka­n anak lelaki saya menghulur keempat- keempat cucu saya yang dalam lingkungan umur satu hingga tujuh tahun itu dari tingkap manakala saya menyambut mereka di bawah rumah.

“Anak lelaki saya dan isterinya pula terjun kemudian dan kami semua bertindak melarikan diri dari bahang api serta meminta bantuan daripada penduduk kampung dan jiran sebelah,” katanya.

Kesemua mereka berlindung di sebalik pohon rumbia bagi mengelak daripada bahang api yang meranapkan rumah berkenaan.

Ketua Masyarakat Kampung Jebungan Penghulu Kudum Dillah ketika ditemui di tempat kejadian turut memuji keberanian Luhi menyelamat­kan ahli keluargany­a.

“Saya mengucapka­n tahniah dan syabas kepada pemilik rumah kerana keberanian beliau dan kejayaan menyelamat­kan enam lagi ahli keluargany­a daripada menjadi mangsa kebakaran,” katanya.

Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dengan kekuatan empat orang yang diketuai PB Azman Hamit tiba di tempat kejadian kira-kira jam 3.55 pagi, mendapati kebakaran membabitka­n rumah kayu setingkat itu telah merebak 100 peratus.

Tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta kerugian masih dalam siasatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia