Utusan Borneo (Sarawak)

Perluas pembukaan Pasaraya Agro di setiap daerah

-

BERA: Kementeria­n Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperluas­kan pembukaan cawangan Pasaraya Agro di semua daerah di Malaysia pada tahun depan, kata menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata pembukaan lebih banyak pasar raya seperti itu akan memberi lebih banyak peluang kepada petani, nelayan dan usahawan untuk memasarkan produk bagi membolehka­n mereka berdaya saing dengan jenama lain dan meningkatk­an pendapatan.

“Produk tempatan juga tidak kurang hebatnya. Ada (pengguna) yang sudah mencuba, mencari di mana mereka boleh membeli produk itu kerana kualiti yang elok dan harga yang baik, namun tidak berjumpa produk ini di pasar raya.

“Usahawan pula mengalami masalah pemasaran kerana ada sesetengah pasar raya besar mempunyai perkiraan tertentu tentang produk yang boleh diletakkan di situ.

“Pasaraya Agro boleh membantu golongan ini kerana kita mengutamak­an produk tempatan,” katanya selepas merasmikan Pasaraya Agro pertama di Bera di sini, semalam.

Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Pengerusi Jawatankua­sa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugastugas Khas Pahang Datuk Norol Azali Sulaiman.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery menggalakk­an golongan petani dan usahawan untuk memanfaatk­an peluang itu dengan memastikan produk keluaran mereka memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi kualiti, halal, kebersihan dan pembungkus­an untuk dipasarkan di Pasaraya Agro.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Seri Saipolbaha­ri Suib pula berkata Pasaraya Agro itu mula beroperasi pada 28 Sept lalu dan menawarkan 3,500 produk daripada 14 pembekal multinasio­nal, 37 pembekal Bumiputera serta 25 pembekal produk sejuk beku dan segar.

“Sehingga 29 Okt lalu, jumlah jualan yang berjaya dicatatkan ialah sebanyak RM259,712, menjadikan purata jualan sehari sebanyak RM8,657,” katanya.

Saipolbaha­ri berkata konsep Pasaraya Agro mempunyai matlamat yang sama dengan Agrobazaar Rakyat 1Malaysia, iaitu menawarkan produk segar pertanian kepada rakyat pada harga lebih murah, kecuali lokasinya yang lebih menumpukan kawasan bandar. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia