Utusan Borneo (Sarawak)

Lyon melonjak ke tangga kedua Ligue 1 Perancis

-

PARIS, Perancis: Lyon melonjak ke tangga kedua Ligue 1 Perancis selepas menang tipis 1-0 ke atas kelab bawahan liga, Troyes walaupun bermain hampir satu jam permainan dengan kelebihan seorang pemain Sabtu lepas.

Claudio Beauvue menyempurn­akan satu tendangan penalti pada minit ke-78 buat Lyon, yang dibimbing Hubert Fournier menjelang perlawanan Liga Juara-Juara menentang Zenit St Petersburg Rabu ini selepas Corentin Jean dibuang padang dalam separuh masa pertama.

“Apa yang paling penting ialah kemenangan tetapi kami tidak boleh berpuas hati sepenuhnya dengan permainan kami,” kata Fournier selepas perlawanan.

“Kami kekurangan kepantasan, kesungguha­n dan impak ketika berdepan pasukan dengan pertahanan yang sangat berdisipli­n.

“Kami dikritik teruk tetapi kami berada di tangga kedua dan masih ada banyak yang perlu diperbaiki,” tambah beliau.

Lyon mengumpul 10 mata dari empat perlawanan terakhir tetapi naib juara liga musim lepas itu masih 10 mata di belakang pendahulu liga yang juga juara bertahan, Paris Saint Germain (PSG), yang menewaskan Rennes 1- 0 pada perlawanan hari Jumaat.

Ia adalah malam yang agak hambar buat Lyon di Stade de l’Aube, yang jarang menguji penjaga gol tuan rumah, Paul Bernardoni walaupun beberapa pergerakan di hadapan pintu gol.

Bernardoni bagaimanap­un ada menepis satu cubaan Corentin Tolisso sebelum Jean dibuang padang ekoran terjahan keras ke atas Sergi Darder 10 minit sebelum rehat.

Jordan Ferri dan Alexandre Lazacatte hampir memecah kebuntuan buat Lyon tetapi pertahanan Troyes tetap bertahan dengan baik ketika mereka memburu kemenangan pertama musim ini.

Bagaimanap­un, Lyon memperoleh­i satu tendangan penalti walaupun bantahan dari pemain Troyes, ketika berbaki 11 minit permainan apabila Chris Mavinga menjatuhka­n Lacazette dalam kotak penalti.

Beauvue dengan tenang menewaskan Bernardoni untuk gol keempat beliau musim ini sekali gus melonjak Lyon ke tangga kedua liga. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia