Utusan Borneo (Sarawak)

JDT pasukan pertama pecah monopoli kelab Asia Barat

-

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) merupakan pasukan Asia Timur pertama yang berjaya memecahkan monopoli pasukan- pasukan Asia Barat pada Piala Konfederas­i Bola Sepak Asia (AFC).

Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Malaysia ( FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata JDT adalah satu-satunya kelab dari Asia Timur, termasuk Asia Tenggara yang menjuarai kejohanan peringkat kedua tertinggi di Asia yang sebelum ini dikuasai oleh kelab- kelab dari negara Asia Barat iaitu, Kuwait, Jordan, Bahrain, Syria dan Uzbekistan.

“Sejak Piala AFC diperkenal­kan pada tahun 2004, tidak pernah ada mana-mana pasukan dari Asia Timur muncul juara sehingga JDT mencipta sejarah malam kelmarin.

Saban tahun wakil-wakil dari Malaysia hanya mampu melangkah setakat peringkat suku akhir.

“Saya mewakili Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, barisan Jawatankua­sa Eksekutif FAM serta seluruh warga kerja FAM ingin mengucapka­n jutaan tahniah kepada JDT di atas kejayaan mereka muncul juara kejohanan Piala AFC tahun ini,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

JDT muncul juara selepas menewaskan pasukan dari Tajikistan, FC Istiklol 1-0 pada perlawanan akhir di Stadium Central Republican, Dushanbe sekali gus mengubat kekecewaan mereka yang gagal melepasi saingan peringkat kumpulan dalam penampilan sulung pada 2009, yang ketika itu dikenali sebagai Johor FC.

Gol tunggal perlawanan dijaringka­n oleh Leandro Velazquez pada minit ke-23, manakala kapten JDT Safiq Rahim dinobatkan sebagai pemain paling bernilai.

Hamidin yang hadir menyaksika­n perlawanan itu di Dushanbe bersama Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, kejayaan membanggak­an skuad Harimau Selatan itu perlu dicontohi dan menjadi inspirasi kepada pasukanpas­ukan lain di Malaysia untuk mempunyai cita-cita tinggi bagi mencapai kejayaan di peringkat antarabang­sa.

“Bagi pihak FAM, kami sentiasa bersedia untuk memberi bantuan dan sokongan berterusan pada masa akan datang termasuk dari aspek penyusunan jadual liga domestik yang tidak terlalu padat buat wakil-wakil negara di kejohanan Piala AFC dan ternyata ia sedikit sebanyak telah membantu JDT untuk mara sehingga ke perlawanan akhir tahun ini,” katanya.

Beliau turut mengucapka­n tahniah kepada Penaung Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menjadi tunjang utama dalam mengubah landskap bola sepak di Johor, sehingga berjaya menjulang nama JDT untuk mencapai kejayaan di peringkat domestik dan antarabang­sa.

Tindakan Persekutua­n Bola Sepak Antarabang­sa (FIFA) menggantun­g Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) menyebabka­n keduadua pasukan dari negara itu, Qadsia SC (juara bertahan) dan Kuwait SC tidak dibenarkan beraksi di peringkat separuh akhir kejohanan itu turut memudahkan laluan JDT ke final.

Selaku juara, JDT membawa pulang Piala AFC yang disampaika­n sendiri oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selain wang tunai berjumlah US$350,000 (RM1.502 juta), manakala Istiklol FC meraih US$250,000 (RM1.072 juta) selaku naib juara.

Kejayaan berkenaan merupakan trofi ketiga diraih JDT musim ini selepas muncul juara Piala Sumbangsih (Piala Sultan Ahmad Shah) menerusi kemenangan 2-0 ke atas Pahang di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 31 Januari lalu selain menjuarai Liga Super 2015. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia