Utusan Borneo (Sarawak)

PRS akui berminat intai kerusi Samalaju

-

KUCHING: Kerusi baharu N.70 Samalaju masih belum dimiliki oleh mana- mana parti dalam Barisan Nasional (BN) secara rasmi termasuk Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Setiausaha Agung PRS, Datuk Wilfred Rata Nissom ketika dihubungi semalam mengakui bahawa parti turut mengintai untuk mendapatka­n kerusi baharu ini.

Namun katanya, setakat ini masih belum ada keputusan atau pengumuman rasmi daripada pemimpin tertinggi BN bahawa kerusi Samalaju adalah milik PRS atau manamana parti lain.

“Memang PRS mahu kerusi Samalaju selain PRS ada lagi parti lain turut berminat mendapatka­n kerusi ini termasuk Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP).

“Namun saya percaya pemimpin tertinggi BN akan membuat penilaian bijak sebelum menentu parti mana lebih layak mewakili BN di Samalaju nanti,” katanya.

Tambah beliau, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) BN akan bermesyuar­at pada masa terdekat bagi membincang­kan agihan kerusi baharu ini antara kesemua parti dalam BN negeri.

“Jika kerusi Samalaju menjadi milik PRS, parti telah mengenal pasti Majang Renggi sebagai calon berpotensi bagi mewakili BN di kerusi baharu ini,” katanya.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2011, PRS diperuntuk sembilan kerusi iaitu Balai Ringgin, Bukit Begunan, Batang Ai, Balleh, Tamin, Kakus, Pelagus, Belaga dan Ngemah namun tewas di Pelagus kepada calon bebas George Lagong.

Kerusi N. 70 Samalaju merupakan salah satu daripada 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu yang telah diluluskan menjadikan jumlah keseluruha­n ialah 82 kerusi.

Kerusi baharu lain termasukla­h, N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu, N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Tellian, N.63 Selirik, N.66 Murum dan N.78 Long Lama.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia