Utusan Borneo (Sarawak)

RSS mampu membantu menangani gejala sosial kalangan belia

-

SIBU: Rumpun Silat Sarawak (RSS) bukan hanya berperanan meneruskan tradisi silat diwarisi turun-temurun malah mampu membantu kerajaan menangani gejala sosial kalangan belia.

Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Nangka, Dr Annuar Rapa’ee berkata silat bukan sahaja dapat membentuk kesihatan fizikal seperti sukan lain tetapi mampu mengisi keperluan rohani insan terbabit dengan aktiviti bersilat.

“Apabila dua perkara ini disatukan, ia boleh melahirkan modal insan yang baik untuk pembanguna­n negara kita.

“Justeru itu, saya minta jasa baik pemimpin silat di negeri ini supaya memberi tumpuan sedikit mengenai masalah sosial di kawasan sekeliling.

“Dengan membawa remaja bermasalah menjadi ahli-ahli dalam persatuan persilatan ini secara tidak langsung dapat membendung masalah sosial,” katanya ditemui pada program Muzakarah Guru dan Pemimpin Silat Peringkat Zon Tengah anjuran RSS di sini semalam.

Program tiga hari itu bermula pada 8 Januari dan berakhir 10 Januari (hari ini).

Dr Annuar turut menggesa perguruan silat supaya sentiasa bersatu padu dan bersepakat menjaga kepentinga­n masyarakat Melayu Islam di negeri ini.

Beliau berharap sebarang perbezaan pendapat dan masalah yang dihadapi dapat diselesaik­an dengan cara baik melalui proses perbincang­an antara kedua-dua pihak.

Sementara itu, Naib Presiden RSS I Datuk Mohamad Yusnar Matalie berkata program itu untuk mengumpul perguruan silat zon tengah serta berbincang mengenai peranan RSS memastikan kelangsung­an seni silat dan perjuangan silat diteruskan.

“Ini merupakan muzakarah pertama diadakan untuk tahun ini disertai seramai 30 orang guru dan pemimpin silat dari kawasan zon tengah.

“Antara isu dikemukaka­n ialah meminta perguruan silat supaya mendaftar di bawah ROS (Jabatan Pendaftara­n Pertubuhan) dan di bawah Pesuruhjay­a Sukan.

“Ini adalah untuk membantu perguruan silat di Sarawak khususnya untuk mendaftar,” jelas beliau.

Hadir sama Presiden RSS, Muhd Haneef Ali dan Setiausaha Agung RSS, Wan Hashim Tku Fauzi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia