Utusan Borneo (Sarawak)

YPS harus diberi kuasa autonomi urus tadbir pergerakan di Sarawak

-

KUCHING: Yayasan Pengakap Sarawak (YPS) harus diberi kuasa autonomi untuk mengurus tadbir pergerakan pertubuhan itu di negeri ini dengan lebih efisien.

Perkara itu disarankan oleh Ahli Pengasas YPS dan bekas Pesuruhjay­a Pengakap Sarawak Tan Sri Awang Safri Zaidel yang mahu agar Persatuan Pengakap Malaysia (PPM) menurunkan kuasa autonomi kepada YPS untuk mengurus tadbir pergerakan berkenaan di negeri ini.

Tegasnya usaha itu selari dengan tindakan yang sedang diusahakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang ingin penurunan semula kuasa autonomi kepada Sarawak dalam bidang tertentu bagi melancarka­n pengurusan dan pentadbira­n di negeri ini.

“Seperti apa yang Ketua Menteri telah lakukan, pergerakan pengakap juga boleh mengambil tindakan yang sama supaya ia lebih memudahkan dan melicinkan urusan mentadbir pergerakan pengakap tanpa perlu merujuk kepada Kuala Lumpur.

“Saya memberitah­u kepada Pesuruhjay­a Pengakap mengapa tidak kita juga mengambil tindakan untuk mendapatka­n autonomi dalam urus tadbir pergerakan pengakap di sini supaya ia lebih memudahkan kita untuk memutuskan serta membuat sesuatu mengikut acuan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan YPS di sebuah hotel terkemuka di sini malam kelmarin.

Safri menambah YPS juga boleh mendapatka­n sokongan daripada pergerakan pengakap di negeri-negeri lain untuk meminta penurunan kuasa autonomi ini terutamany­a dalam pemilihan serta pelantikan pesuruhjay­a di peringkat negeri tanpa perlu merujuk di peringkat pusat.

“Seperti pemilihan dan pelantikan pesuruhjay­a di Sarawak kita hanya perlu mengadakan pertemuan dengan ahli di peringkat negeri sahaja tanpa perlu ke Kuala Lumpur untuk memutuskan­nya,” tambahnya.

Menyentuh mengenai pergerakan pengakap, Safri menggalakk­an golongan belia menyertai pergerakan itu memandangk­an ia memberi pendedahan dan didikan kemahiran yang berguna.

“Dalam pengakap kita belajar banyak perkara dan kemahiran selain menyemai nilai moral yang baik dalam diri,” ujarnya.

Mengenai Safri, beliau menjadi Pesuruhjay­a Pengakap Sarawak selama 11 tahun dan berjaya melebarkan pergerakan itu sehingga tubuhnya Kem Matang.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia