Utusan Borneo (Sarawak)

Dua maut, lapan parah bas terbabas ke dalam parit

22 cedera ringan manakala 16 tidak mengalami kecederaan

-

SHAH ALAM: Dua maut, manakala lapan cedera parah apabila bas yang disewa oleh sekumpulan 47 orang warga Indonesia terbabas dan masuk ke dalam parit di kilometer 43, jalan persekutua­n Klang ke Teluk Intan di Kuala Selangor dekat sini kira-kira jam 5 pagi semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harul berkata kesemua warga Indonesia itu dilaporkan dalam perjalanan dari Pasar Seni, Kuala Lumpur ke jeti Bagan Datoh, Teluk Intan, Perak untuk menaiki feri pulang ke Medan, Sumatera, Indonesia.

Bomba mengambil masa kira- kira 10 minit untuk mengeluark­an mayat seorang lelaki dan seorang wanita yang tersepit di bawah bas berkenaan, katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata seramai 22 penumpang lagi cedera ringan, sementara 16 lagi termasuk pemandu bas tidak mengalami kecederaan.

Kesemua yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tanjung Karang untuk rawatan, katanya.

Mohd Sani berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan berkenaan pada kira-kira jam 5.05 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian.

“Seramai 19 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor dan Tanjung Karang terlibat dalam operasi berkenaan yang tamat pada kira-kira jam 7.10 pagi tadi,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superinten­den Ruslan Abdullah berkata, sampel darah pemandu bas berkenaan telah diambil untuk diuji dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Sementara itu, mayat lelaki berkenaan dikenali sebagai Burhanuddi­n Yahya, 50, seorang pemastauti­n tetap di Malaysia.

Anaknya, Mohd Khairul, 19, yang ditemui di Hospital Tanjung Karang berkata ayahnya ingin pulang ke kampung halamannya di Indonesia setelah tiga tahun tidak pulang.

Mangsa yang tinggal di Taman Alam Megah, Shah Alam, meninggalk­an isteri, Cut Putri Syed Hussin, 46, dan empat orang anak.

Identiti wanita yang maut pula masih belum dikenal pasti berikutan dokumen perjalanan mangsa kemalangan yang bertaburan di kawasan kejadian. — Bernama

Kesemua warga Indonesia itu dilaporkan dalam perjalanan dari Pasar Seni, Kuala Lumpur ke jeti Bagan Datoh, Teluk Intan, Perak untuk menaiki feri pulang ke Medan, Sumatera,

” Indonesia. Mohd Sani Harul Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Selangor

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia