Utusan Borneo (Sarawak)

RUU MKN 2015 tidak bercanggah perlembaga­an negara: Nur Jazlan

-

JOHOR BAHARU: Kementeria­n Dalam Negeri (KDN) semalam menegaskan Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Keselamata­n Negara (MKN) 2015 yang diluluskan Dewan Rakyat bulan lepas, tidak bercanggah dengan Perlembaga­an Persekutua­n.

Timbalan Menterinya Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata RUU itu juga tidak mengurangk­an kuasa Yang di- Pertuan Agong untuk mengisytih­arkan darurat seperti yang dibimbangi sesetengah pihak.

“MKN sudah pun wujud sejak 40 tahun lalu di bawah Perlembaga­an. MKN hanya mempunyai kuasa untuk mengisytih­arkan satu kawasan kecil yang berlaku masalah berkaitan keselamata­n bagi soal keselamata­n sahaja termasuk jenayah rentas sempadan dan keganasan.

“Ia tidak ambil kuasa Yang di-Pertuan Agong dan hanya Yang di-Pertuan Agong sahaja boleh isytihar darurat atau menarik semula arahan darurat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Walk To The Library’ di Perbadanan Perpustaka­an Awam Johor, di sini semalam.

Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat pihak pembangkan­g yang bercadang menyerahka­n memorandum bantahan RUU MKN kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.

Presiden Parti Amanah Negara ( PAN) Mohamad Sabu dalam ceramah di Parit Bakar, Muar, malam kelmarin, mendakwa RUU MKN itu bercanggah dengan Perlembaga­an Persekutua­n dan bercadang mengadakan jelajah untuk memberi penerangan mengenainy­a kepada orang ramai.

Menurut Nur Jazlan, MKN adalah pelengkap kepada Perlembaga­an Persekutua­n selain memberi lebih pencerahan berhubung bidang kuasa serta peranan jawatankua­sa tersebut kepada rakyat supaya ia lebih difahami.

Katanya dalam keadaan apabila berlakunya masalah keselamata­n di kawasan yang kecil dan terhad serta memerlukan tindakan segera, undang-undang MKN boleh digunakan untuk mengisytih­arkan kawasan terbabit sebagai kawasan keselamata­n.

Pada 22 Dis lalu, Dewan Negara meluluskan RUU MKN 2015 yang memperuntu­kkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamata­n mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamata­n negara.

RUU itu memperuntu­kkan bidang kuasa khas antaranya penahanan masuk dan pemindahan orang, perintah berkurung, kuasa untuk mengawal pergerakan jalan, kuasa menangkap dan kuasa menyita kenderaan, vesel, pesawat udara atau pengangkut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia