Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bantu bina masyarakat bermaklumat
IPOH: Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini merupakan pusat setempat yang mampu membantu usaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia membina masyarakat bermaklumat.
Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata kelengkapan moden, teknologi canggih serta persekitaran yang kondusif di kompleks itudiyakini dapat menyuntik kreativiti, inovasi serta budaya kerja berprestasitinggi dalam kalangan petugas.
“Ia sekali gus membantu usaha kita mendaya upaya bakat, membangun dan merekayasa organisasi, memperluas jaringan dan jalinan kerja, meningkatkan produktiviti, mengukuhkan integriti serta merangsang semangat cintakan negara.
“Semua ini akan menjadikan tugas dan amanah yang digalas untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dilaksanakan dengan cekap, cepat dan cermat,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini semalam.
Majlis perasmian disempurnakan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.
Salleh berkata seluruh warga kementerian teruja dengan kejayaan pembinaan kompleks berkenaan di bumi Perak yang merupakan antara negeri Melayu tertua yang tersohor dengan sejarah kegemilangannya.
“Sesungguhnya kementerian berasa amat terhormat di atas perkenan Sultan Perak memberikan persetujuan untuk menamakan kompleks ini atas nama Kompleks Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
“Ia adalah sumber inspirasi bagi setiap warga kementerian dan merupakan lambang kemegahan bangsa, khususnya kepada rakyat negeri Perak,” katanya. — Bernama