Utusan Borneo (Sarawak)

Seorang lagi mangsa demam denggi maut di Terengganu

-

KUALA TERENGGANU: Seorang lagi pengidap demam denggi dilaporkan maut di Terengganu semalam menjadikan dua kematian akibat penyakit itu dalam tempoh sembilan hari pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Mohamad Omar berkata mangsa kedua ini juga berasal dari lokaliti wabak yang sama mencatat kematian sebelumini iaitu dari Kampung Panji Alam yang terletak kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Kuala Terengganu.

“Mangsa, seorang wanita berumur 49 tahun meninggal dunia di wad biasa Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada jam 10.20 pagi semalam.

“Beliau dimasukkan ke HSNZ pada Khamis lalu dan semakin pulih setelah menerima rawatan di hospital namun mangsa didapati meninggal dunia pagi tadi (pagi semalam) akibat renjatan denggi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Sabtu lepas, seorang warga emas lelaki berusia 65 tahun menjadi mangsa pertama denggi di Terengganu tahun ini.

Sebanyak 99 kes demam denggi dilaporkan di seluruh Terengganu sejak 1 Jan lalu hingga kelmarin iaitu peningkata­n sebanyak 253.6 peratus berbanding hanya 28kes demam denggi untuk tempoh yang sama tahun lalu.

Daripada 99 kes itu, daerah Kuala Terengganu mencatat 76 kes diikuti Dungun (tujuh), Kuala Nerus (lima), Besut (empat), masing-masing tiga kes di Hulu Terengganu dan Kemaman serta satu kes di Marang.

Sehubungan itu, Dr Mohamad mahu orang ramai yang tinggal di sekitar Kampung Panji Alam supaya segera mencari dan memusnahka­n tempat pembiakan nyamuk aedes sebelum lebih ramai menjadi mangsa akibat wabak itu.

“Kes denggi di negeri ini, terutama di Kuala Terengganu sangat membimbang­kan dan telah berlarutan sejak November lalu. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia