Utusan Borneo (Sarawak)

Misi menawan pascagempa

- Oleh Noorazlina Jindeh

BUNYI siren di pintu Timpohon, Taman Kinabalu, pada jam 8.30 pagi, 1 Disember lalu menandakan bermulanya aktiviti pendakian Gunung Kinabalu selepas aktiviti itu ditutup kepada orang ramai sejak kejadian gempa bumi pada 5 Jun.

Gempa pada magnitud 5.9 itu turut menjejaska­n Laluan Mesilau ke puncak yang digunakan selama ini dan oleh itu pendaki kini perlu menggunaka­n laluan baharu iaitu Laluan Ranau dari kem pangkalan di Laban Rata.

Dari Laban Rata yang terletak pada ketinggian 3,272 meter, Laluan Ranau membawa pendaki ke Sayat Sayat (3,668m) sebelum meneruskan perjalanan ke puncak gunung iaitu Low’s Peak pada ketinggian 4,095m.

Satu lagi laluan baharu dijangka pada tahun ini.

Penulis merupakan antara 20 orang pengamal media yang menyertai 115 orang pendaki untuk menempuh Laluan Ranau, laluan yang lebih jauh berbanding laluan sebelumnya.

Bilangan pendaki ke puncak Kinabalu dihadkan kepada 135 orang sahaja setiap hari.

Sebelum memulakan pendakian pada jam 9 pagi, pengamal media diberi kesempatan untuk menghantar berita prapendaki­an ke media masing-masing dan selepas itu mereka dibahagika­n kepada beberapa kumpulan mengikut malim gunung (jurupandu) bersama porter yang telah disediakan oleh pihak Taman-Taman Sabah.

Penulis bersama lima agensi media lain termasuk Radio Televisyen Malaysia (RTM) ditemani oleh dua orang malim gunung iaitu Obyzander Sabran dan Joeythine Musin, masingmasi­ng berusia 22 tahun.

Obyzander merupakan antara mereka yang terlibat dalam merintis laluan baharu ke puncak Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Asia Tenggara.

Pendakian bermula di kilometer 0.5 sebelum melalui tujuh pondok rehat yang dinamakan mengikut tumbuhan yang terdapat di situ iaitu Pondok Kandis, Ubah, Lowii, Mempening, Layang-Layang, Villosa dan yang terakhir Paka di kilometer 5.5.

Di kilometer 3.5 iaitu sebelum pondok Mempening, satu papan tanda turut dipasang sebagai peringatan kepada pendaki supaya bergerak pantas di zon itu bagi mengelak gelongsora­n batu sekiranya berlaku.

Ia dipasang selepas kejadian gempa pada Jun lepas yang mengorbank­an 18 orang pendaki.

BERMULA

Setiap pondok juga disediakan alat pengusung bagi memudahkan kerja menyelamat dijalankan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Pendaki juga dinasihati supaya membawa bekalan air yang mencukupi walaupun di setiap pondok disediakan air tetapi ia bukanlah air yang dirawat.

Selepas mendaki hampir 10 jam, kumpulan itu akhirnya tiba di kawasan Panalaban pada kira-kira jam 6 petang ketika matahari hampir terbenam.

Ketika itu suhu agak sejuk di luar namun apabila masuk ke dalam restoran di Laban Rata yang turut menawarkan kemudahan penginapan, suhu agak hangat.

Seawal jam 1 pagi pada 2 Disember, kesemua pendaki mula berkumpul di restoran Laban Rata untuk menikmati sarapan pagi sebelum memulakan pendakian.

Walaupun dalam keadaan cuaca yang sejuk kira-kira tujuh darjah Selsius, para pendaki tidak sabar untuk memulakan pendakian di laluan yang baharu itu.

Pendaki dibahagika­n kepada beberapa kumpulan dan bergerak ke laluan baharu secara berperingk­at.

Bagi kumpulan media, sebelum berlepas turut diberikan serba sedikit taklimat oleh pendaki solo Everest iaitu T. Ravichandr­an (Ravi).

Sedikit senaman pemanasan dan regangan badan turut dilakukan bagi mengelak kekejangan otot semasa pendakian sepanjang 2.7 kilometer ke puncak gunung.

Ketika itu, semua membuat persiapan terakhir menggunaka­n lampu yang disewa khas di Laban Rata.

Pendaki perlu bawa tongkat penyokong ketika pendakian, tali kasut perlu diikat rapi, bibir disapu dengan pelembab dan berpakaian sesuai.

Tepat jam 2.30 pagi, semua pendaki mula mendaki dari pondok Hut yang berada kira-kira 50 meter dari Laban Rata.

Suasana pada ketika itu sememangny­a gelap dan hanya berpanduka­n lampu suluh menerangi laluan dan untuk memudahkan pergerakan setiap pendaki berjalan secara beriringan.

Dalam keadaan samarsamar, apa yang dapat dirasai pendaki adalah mereka melangkah melalui anak-anak tangga yang rapat dan kian meninggi.

Semua pendaki juga dinasihatk­an supaya berjalan dengan teratur agar tidak menghalang pendaki yang lain dan tidak perlu tergesa-gesa.

SUASANA SUNYI

Suasana memang sunyi, yang kedengaran hanya hanyunan langkah kaki dan hembusan dan tarikan nafas pendaki yang mula merasakan kepenatan dan mungkin juga mula berpeluh.

Pendaki yang mula merasakan badan mereka berpeluh kemudian dinasihatk­an supaya menanggalk­an baju tebal mereka bagi mengelakka­n dehidrasi.

Laluan Ranau sepanjang 1,050 meter itu sememangny­a mencabar dan sukar, apatah lagi bagi pendaki yang buat pertama kalinya mendaki kerana ia mempunyai anak-anak tangga yang disusun secara rapat di samping laluan berbatu dan hanya ada tali untuk berpaut.

Melihat jam tangan sudah menunjukka­n jam 3.45 pagi, seorang demi seorang pendaki mula mencari rentaknya sendiri apabila laluan semakin mencabar, dengan laluan menjadi sempit dan diliputi batuan keras.

Atas nasihat Ravi, pendaki diminta supaya menyimpan semua peralatan dalam beg dan tidak memegang apa-apa seperti tongkat, kamera mahupun telefon bimbit kerana laluan yang akan dilalui adalah zon yang memerlukan pendaki berpaut pada tali.

“Jangan tarik tali tapi gunakan untuk kekalkan keseimbang­an badan,” kata Ravi kepada setiap pendaki apabila melalui zon berbahaya.

Malah pendaki dinasihati agar bergerak pantas selain menumpukan perhatian apabila melalui kawasan itu yang sering berlaku gelongsora­n batuan dari atas.

Seorang demi seorang bergerak dengan penuh berhati-hati walaupun dalam keadaan yang sangat penat namun apabila memikirkan berada di zon berbahaya perasaan penat itu hilang seketika.

Jam 4.30 pagi kesemua rombongan media melepasi pondok SayatSayat yang berada pada ketinggian kira-kira 3,666 meter iaitu tempat para pendaki perlu melaporkan diri sebelum dibenarkan meneruskan pendakian ke puncak Gunung Kinabalu yang memerlukan pendakian sejauh kirakira 1.62 kilometer lagi.

Laluan ke puncak walaupun agak mudah kerana batuannya landai namun dengan tenaga yang semakin berkurang selain oksigen yang semakin menipis ia agak mencabar juga.

Namun akhirnya tepat jam 7.15 pagi, penulis berjaya sampai ke puncak Gunung Kinabalu setelah berusaha sedaya upaya mendaki selama hampir lima jam hasil bantuan dua orang malim gunung itu. — Bernama

 ?? — Gambar Bernama ?? BERHATI-HATI: Para pendaki harus bergerak pantas melalui kawasan pendakian di kilometer 6.8 kerana kawasan ini masih dianggap berbahaya berikutan sering berlaku gelongsora­n batu dari atas.
— Gambar Bernama BERHATI-HATI: Para pendaki harus bergerak pantas melalui kawasan pendakian di kilometer 6.8 kerana kawasan ini masih dianggap berbahaya berikutan sering berlaku gelongsora­n batu dari atas.
 ?? — Gambar Bernama ?? LALUAN RANAU: Denai baharu menggunaka­n tangga kayu yang lebih selesa dibina bagi keselesaan pendaki menawan Gunung Kinabalu selepas tragedi gempa bumi di gunung ini.
— Gambar Bernama LALUAN RANAU: Denai baharu menggunaka­n tangga kayu yang lebih selesa dibina bagi keselesaan pendaki menawan Gunung Kinabalu selepas tragedi gempa bumi di gunung ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia