Utusan Borneo (Sarawak)

Yayasan ECO World kekal peruntukan RM5j bagi bantuan pendidikan

-

JOHOR BAHARU: Yayasan Eco World, sebuah badan yang menyediaka­n bantuan pendidikan, akan mengekalka­n jumlah peruntukan RM5 juta yang diberikan kepada murid dan pelajar sekolah sebelum ini.

Pengerusin­ya Tan Sri Lee Lam Thye berkata peruntukan itu disalurkan setiap tahun bagi membantu murid dan pelajar daripada golongan berpendapa­tan rendah. Katanya, dana RM5 juta itu dikumpul daripada penderma-penderma yang berkaitan dengan syarikat Eco World Developmen­t Group Bhd.

“Setakat ini, seramai 3,000 murid dan pelajar telah menikmati kemudahan diberikan yang bukan sahaja meliputi yuran pengajian malah kos perbelanja­an penginapan dan makanan.

“Bagi bantuan pendidikan rendah, kami menyediaka­n RM1,100 hingga RM1,200 setahun; pendidikan menengah ( RM1,000 hingga RM1,600); tingkatan enam rendah dan atas ( RM5,000); pelajar universiti pengajian asas (RM6,500) dan RM8,000 hingga RM14,500 untuk pengajian Sarjana Muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlan­gan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2015, di sini malam kelmarin.

Lee berharap bantuan seperti ini akan mendorong para pelajar menjadi insan berjaya serta berguna kepada masyarakat dan negara pada masa akan datang.

Pada majlis itu, seramai 13 murid mendapat Anugerah UPSR Paling Cemerlang, 20 orang menerima Anugerah Cemerlang dan 10 orang pula diberi Anugerah Prestasi Paling Meningkat.

Atas kejayaan itu, mereka menerima kamus dwibahasa Oxford, buku motivasi dan wang tunai RM100 hingga RM200.

Seramai enam guru dan sebuah sekolah iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Permas Jaya turut menerima Anugerah Guru dan Anugerah Sekolah Terbaik di atas peranannya membimbing pelajar ketika peperiksaa­n UPSR. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia