Utusan Borneo (Sarawak)

DUA DITAHAN BERHUBUNG KES TEMBAK JALAN BUKIT LIMA

-

SIBU: Polis kelmarin berjaya menahan dua lelaki masing-masing berusia 32 tahun dan 49 tahun bagi membantu siasatan kes tembak yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Bukit Lima pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi mengesahka­n kedua-dua suspek terbabit ditangkap berasingan di dua lokasi iaitu di Jalan Lanang dan Jalan Langsat sekitar jam 5 petang kelmarin.

Katanya, kedua-dua suspek akan dikenakan tahanan reman sehingga 12 Januari ini bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960.

Dalam kejadian sekitar jam 4 pagi pada Jumaat lepas, pengadu, 53, seorang ahli perniagaan memberitah­u bahawa dia dikejutkan anak lelakinya apabila terdengar bunyi letupan.

Selepas itu, pengadu dan anaknya memeriksa keadaan di bahagian tingkat bawah rumah dan mendapati cermin tingkap hadapan telah pecah serta menjumpai serpihan kaca, kelongsong peluru termasuk timah di atas lantai.

Ketika kejadian, seramai 10 ahli keluarga termasuk pengadu, ibu pengadu, isteri, dua anak lelaki, dua menantu dan tiga cucu sedang tidur.

Anak pengadu hanya dikenali sebagai Lau, 32, memberitah­u bahawa dia terdengar bunyi letupan yang kuat sebelum diikuti bunyi cermin pecah.

Katanya, dia menjumpai satu pelet di atas lantai di dalam rumah dan terdapat kesan berlubang di bahagian cermin tingkap hadapan.

“Saya percaya kesan berlubang ditemui pada cermin tingkap itu adalah kesan tembakan,” kata anak kedua pengadu bekerja sebagai penyelia kilang sejuk beku di Sungai Merah.

Difahamkan isteri pengadu sempat melihat sebuah motosikal memecut dari luar pintu pagar rumah mereka tetapi tidak pasti berapa suspek yang terlibat.

Sejurus kejadian pemilik rumah dan seorang anaknya pergi ke Balai Polis Sentral untuk membuat laporan polis sekitar jam 8.30 pagi.

Bertindak atas maklumat, pasukan polis pergi ke lokasi kejadian untuk menjalanka­n pemeriksaa­n dan siasatan.

Polis percaya suspek telah melepaskan satu das tembakan di hadapan pintu pagar rumah pengadu dari jarak lebih 10 meter.

Rumah pengadu tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) namun polis cuba mencari petunjuk kejadian dari rumah jiran sebelah yang ada memasang CCTV.

 ??  ?? DIBERKAS: Kedua-dua suspek ketika dibawa ke Balai Polis Sentral untuk membantu siasatan,
petang kelmarin.
DIBERKAS: Kedua-dua suspek ketika dibawa ke Balai Polis Sentral untuk membantu siasatan, petang kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia