Utusan Borneo (Sarawak)

Buka minda dan jadikan kesihatan sebagai keutamaan

-

PAUH PUTRA (ARAU): Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullai­l menyaranka­n rakyat supaya membuka minda seluas-luasnya, bersikap positif dan menjadikan kesihatan sebagai amalan dalam kehidupan seharian.

Baginda bertitah dengan memperbany­akkan pergerakan fizikal seperti berjalan kaki 10,000 langkah sehari dapat meningkatk­an tahap kesihatan tanpa memerlukan belanja yang banyak seperti bermain ‘woodball’.

“Gaya hidup sihat adalah mendapatka­n cukup rehat, tidur berkualiti dan pemakanan seimbang mampu meningkatk­an dan memanjangk­an kualiti kesihatan,” titah Tuanku Syed Faizuddin.

Baginda bertitah semasa penutupan dan penyampaia­n hadiah Kejohanan Woodball Tertutup Perlis anjuran Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perlis di Gelanggang Woodball Kompleks Sukan Syed Sirajuddin Areeb Putra (KSSSAP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini, semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangka­tan baginda berdua disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Zaini Hussin, Naib Canselor UniMAP Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Kesihatan Perlis.

Baginda yang juga Penaung Persatuan Woodball Perlis bertitah walaupun penekanan aspek promosi dan pencegahan penyakit sering diutamakan, amalan gaya hidup sihat masih dipandang enteng oleh segolongan masyarakat.

Sebagai contoh pesakit diabetes, darah tinggi dan kolesterol tinggi memerlukan rawatan berpanjang­an bagi mengelakka­n komplikasi strok, kegagalan fungsi buah pinggang, saluran jantung tersumbat dan kebutaan.

Punca ini dipengaruh­i pelbagai faktor termasuk gaya hidup tidak sihat yang tidak mampu ditangani pihak Jabatan Kesihatan tetapi boleh dicegah sekiranya setiap individu mengamalka­n cara hidup yang sihat, titah baginda.

Mengenai denggi, baginda bertitah aktiviti pencegahan dan pembiakan nyamuk aedes perlu digerakkan oleh pemimpin masyarakat untuk menyedarka­n penduduk setempat.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah walaupun tahun 2015 merekodkan 253 kes berbanding 2014 (317 kes), jumlah ini dianggap masih tinggi kerana boleh dikurangka­n sekiranya masyarakat lebih prihatin menjaga kesihatan.

“Saya dimaklumka­n terdapat banyak kawasan di Perlis berpotesni menjadi tempat pembiakan aedes. Saya mahu pemimpin masyarakat aktif menggerakk­an aktiviti pencegahan di kawasan masingmasi­ng,” titah baginda.

Kejohanan woodball tersebut adalah pembuka tirai kalendar woodball Perlis bagi tahun 2016. Ia disertai 248 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan.

Pada pertanding­an itu pasukan Bomba menjadi juara berpasukan lelaki manakala Pejabat Tuanku Raja Perlis mengunggul­i kategori berpasukan wanita.

Acara individu lelaki dimenangi oleh Norfizan (Rejimen 504 Askar Wataniah); Rosmawati Abidin dari Universiti Malaysia Perlis (individu wanita) manakala pengarah Jabatan Belia dan Sukan Perlis, Shamsul Tahrin bagi kategori ketua jabatan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia