Utusan Borneo (Sarawak)

Penerangan implikasi TPPA ‘Sidang Kemuncak TPPA 2016’ kurang tepat

-

SHAH ALAM: Penerangan berhubung implikasi Perjanjian Perkongsia­n Trans-Pasifik (TPPA) yang dihujahkan dalam Sidang Kemuncak TPPA 2016 anjuran badan bukan kerajaan di sini, kelmarin, disifatkan sebagai kurang tepat.

Perkara itu dinyatakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang turut hadir pada persidanga­n tersebut namun tidak diberi ruang untuk memberi penjelasan mengenai isu yang dibangkitk­an oleh ahli panel.

“Saya harap dapat diberi peluang untuk berucap sedikit tadi (kelmarin) tapi penganjur kata kesuntukan masa bagaimanap­un kita hormati perkara itu, mungkin ada peluang pada lain hari,” katanya ketika ditemui pemberita selepas persidanga­n tersebut di sini.

Antara isu yang dibangkitk­an pada persidanga­n itu adalah kedaulatan negara terjejas sekiranya TPPA dipersetuj­ui, peluang kerajaan negeri membuat keputusan berhubung pertukaran tanah menjadi terhad serta kenaikan kos ubat-ubatan.

Abdul Wahid berkata maklumat mengenai kesan TPPA kepada ekonomi negara yang dibahaskan dalam persidanga­n itu sebenarnya lebih menjurus kepada kegusaran dan kebimbanga­n semata-mata tanpa memperhalu­si kebaikan yang mampu dikecapi jika ia terlaksana kelak.

Menurutnya, seandainya Malaysia memutuskan untuk tidak menyertai perjanjian tersebut dengan segera, peluang untuk berunding bagi menyenarai­kan terma-terma yang memberi lebih manfaat kepada rakyat dan negara akan tertutup.

“Sebagai negara pertama sertai TPPA berbanding 12 lagi negara lain, kita ada peluang untuk tentukan termaterma yang beri manfaat kepada kita supaya perjanjian itu lebih seimbang. Contohnya, konsep Bumiputera telah diambil kira malah diiktiraf dalam TPPA,” katanya.

Menurutnya, kerajaan menerusi Kementeria­n Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri (MITI) akan terus mengadakan pelbagai sesi taklimat di seluruh negara bagi memberi pencerahan kepada rakyat mengenai kandungan serta implikasi TPPA.

Empat ahli panel Sidang Kemuncak TPPA 2016 itu terdiri daripada Pengarah ‘ Third World Network’, Chee Yoke Ling; pensyarah undang- undang Universiti Malaya, Prof Gurdial Singh Nijar; Pengerusi Bantah TPPA Mohd Nizam Mahshar; dan Presiden Majlis Perundinga­n Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menghadiri persidanga­n tersebut. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia