Utusan Borneo (Sarawak)

Ringgit dijangka kekal tidak menentu

-

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka kekal tidak menentu minggu ini, dipacu oleh sentimen negatif yang berpunca daripada penguncupa­n ekonomi China selain kegusaran berterusan terhadap harga komoditi, kata peniaga.

Naib Presiden/ Ketua Penyelidik­an Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata unit tempatan dijangka dalam aliran menurun minggu ini disebabkan kejatuhan harga minyak dan penggantun­gan sesi dagangan pasaran saham China yang mungkin menjejaska­n sentimen peniaga untuk jangka pendek.

“Kemelut pasaran saham China baru-baru ini dan pengukuhan seterusnya dolar AS memberi tekanan terhadap ekuiti global, aliran keluar dana dan diburukkan lagi oleh penjualan ringgit memandangk­an pelabur beralih kepada emas sebagai aset selamat.

“Ringgit kembali lemah pada paras 4.400 akan meletakkan mata wang itu di landasan untuk ditutup pada paras terendah sejak November 2015,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu awal minggu lepas, China melaksanak­an mekanisme penampan kejatuhan bagi mengekang kejatuhan pasaran ekuitinya yang menyaksika­n pasaran saham ditutup lebih awal.

Di dalam negara pula, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pengubahsu­aian akan dibuat terhadap Bajet 2016 bagi mencermink­an situasi sebenar disebabkan pengukuhan dolar AS dan penyusutan harga minyak dan komoditi utama.

Bagi minggu yang baru berakhir, ringgit merosot berbanding dolar AS kepada 4.3800/3900 daripada 4.2900/2970 pada Jumaat.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0472/0550 daripada 3.0367/0423 pada Khamis lepas dan menyusut berbanding yen kepada 3.6993/6093 daripada 3.5637/5698.

Ringgit jatuh berbanding euro kepada 4.7611/ 7737 daripada 4.6851/6940 dan turun berbanding pound British kepad 6.4014/4182 daripada 6.3604/ 3716 sebelum ini. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia