Utusan Borneo (Sarawak)

Polis rampas ecstasy, syabu bernilai RM8.1 juta

-

JOHOR BAHARU: Polis berjaya membongkar sebuah makmal memproses pil ecstacy, merampas beberapa jenis dadah bernilai RM8.1 juta dalam serbuan di lima lokasi berasingan di sekitar bandar raya ini, Jumaat dan Sabtu lepas.

Turut ditahan enam lelaki tempatan berumur antara 37 dan 45 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik ( JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata serbuan dan penahanan kesemua lelaki itu bermula jam 3.20 petang hingga 12.20 tengah malam oleh JSJN, Pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman serta dibantu JSJN Johor.

“Dalam serbuan pertama, di sebuah rumah di Taman Sri Pelangi, di sini, polis membongkar makmal itu yang dipercayai sudah beroperasi selama empat bulan dan menahan dua lelaki,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata polis turut merampas 58 kilogram disyaki serbuk ecstacy, 5,290 pil disyaki ecstasy, sekilogram dadah disyaki syabu, dua kilogram serbuk bahan kimia, sejumlah botol berisi bahan kimia, peralatan memproses pil ecstacy, empat laras senapang angin, dua pistol angin serta dua peluru, di rumah itu.

Mohd Mokhtar berkata susulan penahanan itu, polis kemudian berjaya menahan empat lagi lelaki, masingmasi­ng di Taman Sutera, Taman Century, Bandar Permas Jaya dan Taman Daya, di sini.

Beliau berkata berdasarka­n siasatan awal, pihaknya percaya dadah itu diproses untuk dijual di pasaran Singapura dan Indonesia.

Katanya kesemua peralatan memproses dadah itu dipercayai dari China manakala dadah terbabit mampu dibekalkan kepada 190,000 penagih.

Menurut Mohd Mokhtar pihaknya turut menyita pelbagai harta bernilai RM390,140 termasuk dua motosikal jenis Ducati dan Kawasaki, tiga kereta jenis Mazda, Proton Suprima S dan Iswara serta wang tunai RM5,140 daripada kesemua lelaki terbabit.

Kesemua lelaki berkenaan, dua daripadany­a mempunyai rekod jenayah manakala lima juga didapati positif dadah, kini direman sehingga Jumaat ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, katanya.

Beliau berkata polis akan menjalanka­n operasi berterusan bagi menangani penyeludup­an dan pengedaran dadah di negara ini.

“Setakat 1 hingga 7 Jan lepas, polis sudah menahan 3,917 rakyat tempatan dan 164 warga asing berkaitan dadah di seluruh negara serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM690,000,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia