Utusan Borneo (Sarawak)

Peniaga dakwa dipukul polis hingga cedera dI George Town

-

GEORGE TOWN: Seorang peniaga mendakwa dipukul beberapa anggota polis sehingga cedera termasuk menerima lapan jahitan di bibir dan bengkak di dagu dalam kejadian di Jalan Perak, awal pagi Ahad.

Muhammad Atiq Abdul Shukor, 21, berkata dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, dia sedang menunggang motosikal sebelum dihampiri beberapa motosikal ditunggang lelaki yang cuba menahannya, namun Muhammad Atiq terus memecut kerana terkejut dan takut.

“Mereka kejar saya sebelum memaklumka­n yang mereka polis, saya cuba berhenti tapi terjatuh (dari motosikal), ketika cuba bangun saya nampak seorang daripada lima lelaki itu ambil sesuatu di atas jalan dan bertanya adakah barang itu milik saya.

“Sebaik saya beritahu tidak tahu apa benda itu, tiga daripada lima lelaki itu bertindak memukul, menendang, terajang dan tumbuk saya sebelum mereka bawa saya ke tempat parkir Balai Polis Jelutong,” katanya di sini semalam.

Muhammad Atiq berkata sebaik tiba di balai itu, mereka terus bertanya sama ada benda yang diambil dari jalan raya tadi miliknya atau tidak, namun dia tetap tidak mengaku.

Muhammad Atiq berkata seorang daripada mereka kemudianny­a terus bertindak memukulnya dengan topi kaledar di bahagian muka sehingga bibir pecah dan giginya patah.

“Selepas melihat kecederaan saya, mereka membawa saya ke Hospital Pulau Pinang dan saya menerima rawatan lapan jahitan dan selepas itu mereka membawa saya ke cawangan narkotik untuk ujian air kencing,” katanya.

Katanya selepas mendapati keputusan air kencingnya negatif, mereka melepaskan­nya, bagaimanap­un Muhammad Atiq yang tidak berpuas hati dengan kejadian itu membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Petani, di sini kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatr­ash Wahid ketika dihubungi Bernama berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki yang bekerja sebagai peniaga itu dan polis akan menjalanka­n siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia