Utusan Borneo (Sarawak)

LKIM beku eksport ikan rakyat, elak kekurangan bekalan semasa El Nino

-

KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil langkah awal membekukan pengekspor­tan ikan rakyat bagi memastikan bekalan hasil laut mencukupi ketika fenomena El Nino.

Pengerusin­ya Datuk Irmohizam Ibrahim berkata langkah yang bermula sejak 1 Dis tahun lepas sehingga 29 Feb ini adalah bagi memastikan harga ikan sentiasa stabil.

“Buat masa ini, LKIM telah membekukan pengekspor­tan ikan rakyat iaitu cencaru, kembong, selar, selayang, pelaling dan kerisi untuk memastikan bekalan hasil laut mencukupi.

“Kami tidak mahu ada mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan menaikan harga ikan walaupun terdapat keluhan daripada segelintir nelayan mengenai keadaan cuaca yang panas berikutan El Nino,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Fenomena El Nino atau musim panas yang melanda negara pada masa ini menyebabka­n harga ikan dan sayuran tidak menentu.

Sementara itu, tinjauan Bernama ke Pasar Chow Kit dan Datuk Keramat, di sini semalam mendapati terdapat kenaikan pada harga ikan iaitu antara RM2 dan RM3 berbanding harga asal.

Peniaga Pasar Chow Kit Amri Sulaiman, 52, berkata harga ikan tidak menentu mengikut jenis ikan.

“Macam hari ini harga ikan naik sedikit dan itu sudah perkara biasa, tengok pada jenis ikan, kalau sejuk beku murah dan kalau ikan tempatan segar memang mahal.

“Kita tidak dapat jual mu- rah jika pemborong menjual pada harga tinggi,” katanya.

Peniaga di Pasar Datuk Keramat, Kamarulzam­an Awang, 51, berkata harga ikan yang dibeli peniaga telah ditetapkan pemborong, oleh itu terdapat kekangan dalam menetapkan nilai harga untuk pelanggan.

“Pembeli sering merungut kerana merasakan ikan yang dijual mahal namun kita tidak boleh berbuat apa-apa kerana pemborong yang meletakkan harga.

“Dulu kita (peniaga) boleh borong ikan sebanyak 100 kilogram pada harga RM300 sahaja tetapi sekarang mencecah RM1,200 untuk 100 kilogram ikan,” katanya.

Mengenai harga sayuran di pasar, Pembantu Eksekutif Persekutua­n Pekebun-pekebun Sayur, Lee Song Yee berkata harga sayuran tidak menentu kerana ia ditentukan mengikut kawasan tanamannya.

“Cuaca terlalu panas di kawasan tertentu akan menjadi masalah kerana tanaman kekurangan air menyebabka­n sayur tidak boleh membesar dan terpaksa dijual dengan harga lebih murah,” katanya.

Seorang lagi peniaga di Pasar Datuk Keramat Selani Hadnawi, 30, juga mengakui pendapatan berkuranga­n ketika musim panas kerana sayur mudah rosak dan perlu dijual cepat dengan harga lebih murah.

“Sayur banyak rosak ketika musim panas. Kami akan nilai jenis sayur sebelum dijual pada harga RM1 hingga RM2 seikat bergantung kepada kualiti sayur itu,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia