Utusan Borneo (Sarawak)

Adnan nafi pembalakan di Hutan Simpan Lentang

-

KUANTAN: Kerajaan Pahang semalam menafikan dakwaan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia ( PEKA) bahawa pembalakan berlaku di Hutan Simpan Lentang hingga menyebabka­n banjir lumpur di Lebuhraya Kuala LumpurKara­k berhampira­n Bukit Tinggi pada 11 Nov lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata kawasan yang dibangkitk­an Presiden PEKA Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil merupakan kawasan projek pembinaan mini hidro yang telah diluluskan kepada Pasdec Holdings Bhd.

Syarikat itu telah memohon untuk mengeluark­an kayu pada 4 Jan 2013, katanya.

“Projek ini melibatkan pemasangan paip yang akan mengalirka­n air dari Sungai Tanglir ke Sungai Benus dan melibatkan penebangan pokok di jajaran yang terlibat dengan pemasangan paip berkenaan.

“Kawasan projek yang dikeluarka­n lesen ini tidak terlibat dengan kawasan banjir lumpur, iaitu melebihi lima kilometer dan aliran air juga berbeza,” katanya pada satu sidang media.

Adnan menambah sebelum lesen pembalakan dikeluarka­n, satu perbincang­an melibatkan pihak Pasdec, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Pejabat Tanah dan Galian, Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) Janda Baik, Pejabat Hutan Daerah Bentong, jururundin­g dan kontraktor telah diadakan pada 29 Jun 2015.

Hasil perbincang­an mendapati tiada halangan projek diteruskan dengan pemantauan rapi dan lesen dikeluarka­n pada 15 Julai 2015 hingga 14 Okt 2015 sebelum dilanjutka­n bagi tempoh tiga bulan berkuatkua­sa 15 Okt 2015 hingga 14 Jan 2016, tambahnya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia