Utusan Borneo (Sarawak)

LPNM tingkat tanaman nanas, usahakan kawasan 8,500 hektar

-

JOHOR BAHARU: Lembaga Perindustr­ian Nanas Malaysia (LPNM) bakal meningkatk­an tanaman nanas di negara ini dengan mengusahak­an kawasan seluas 8,500 hektar bagi tanaman nanas jenis MD2 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Nogeh Gumbek berkata projek tanaman dengan kos sebanyak RM102.6 juta menerusi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) itu juga selaras dengan usaha memenuhi permintaan tinggi eksport nanas ke luar negara.

“Daripada 8,500 hektar itu, sebanyak 3,500 hektar tanah akan dibangunka­n di Sarawak sekali gus menjadikan Sarawak sebagai negeri pengeluar nanas terbesar negara ini manakala 5,000 hektar lagi di beberapa negeri di semenanjun­g,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat berkaitan tanaman itu di Wisma LPNM, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pengarah LPNM, Sahdan Salim.

Nogeh berkata pasaran nanas didapati stabil pada masa kini dan sehubungan itu, pengeluara­n nanas harus ditingkatk­an untuk mendapatka­n hasil jualan yang tinggi sekali gus memenuhi permintaan pengimport.

“Pasaran eksport nanas hibrid seperti MD2 berkembang cepat dan kita perlu mengambil peluang ini untuk menjadi negara pengeluar bagi memenuhi permintaan pasaran global. Nanas MD2 mempunyai permintaan tinggi di pasaran luar seperti China, Korea Selatan dan Jepun,” katanya.

Sementara itu, Sahdan berkata, pihaknya telah menandatan­gani memorandum persefaham­an (MoU) dengan China tahun lepas untuk mengekspor­t 100 kontena nanas MD2 setiap bulan.

Beliau berkata permintaan terhadap eksport nanas ini sememangny­a tinggi, namun, pengusaha nanas negara ini belum mampu memenuhi permintaan itu kerana terdapat beberapa cabaran dan masalah yang dihadapi.

“Untuk menyediaka­n 100 kontena nanas kepada China, kita memerlukan pengeluara­n hasil tanaman berkeluasa­n 5,000 hektar.

“Isunya sekarang ini, kita juga tidak cukup benih nanas MD2 dan harga benih yang agak mahal iaitu RM1.50 untuk satu pokok berbanding 30 sen sepokok bagi harga nanas biasa. Kita juga gunakan kaedah tunasan daun bagi mempercepa­tkan proses pembenihan,” katanya. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia